Pengajaran Dari The Greatest Stock Picker – Sir John Templeton

Dalam artikel kali ini, kami kongsikan pengajaran dari pelabur lagenda yang mendapat jolokan “The Greatest Stock Picker,” iaitu Sir John Templeton. Templeton mula mengasaskan Templeton Growth Fund pada tahun 1954, dan menguruskannya sehingga tahun 1992. Sepanjang 38 tahun firma itu beroperasi, beliau berjaya membawa pulangan sebanyak 16% setiap tahun secara konsisten. Prestasi yang sangat menakjubkan ketika itu. Dalam erti kata lain, sekiranya kita melabur sebanyak RM10,000 dengan firma beliau, dalam tempoh 38 tahun kita akan mendapat pulangan sebanyak RM1.7 juta!

 

Beliau digelar “The Greatest Stock Picker of the Century” oleh Money Magazine. Lagenda Templeton dikenang sebagai salah seorang pelabur terkemuka di dunia kerana menjadi perintis yang berwawasan dan prestasi pelaburannya yang luar biasa sepanjang karier profesional beliau lebih dari setengah abad. Bagaimana ya beliau membuat keuntungan sebanyak 16% secara konsisten setiap tahun? Berikut adalah 10 pengajaran daripada beliau.

 

#10 Buy Cheap

Beli semasa harga masih murah atau “undervalued.” Nasihat seperti ini semestinya sudah boleh difikir dengan logik. Dan nasihat ini sudah biasa didengar dikalangan pelabur. Persoalannya, kenapa masih ramai yang gagal mengikutinya? Tepuk dada, tanya selera.

 

#9 Simpan Tunai & Bond Saat Cheap Stock Sukar Dijumpai

Pada tahun 1969, sepertiga daripada dana Templeton merangkumi tunai dan bon kerana harga saham yang begitu tinggi. Tidak banyak saham yang menawarkan harga yang murah. Beliau bukan pakar dalam meramalkan kenaikan atau penurunan harga dalam jangka masa pendek tetapi beliau kekal dengan strateginya.

 

#8 Dunia Adalah Gelanggangnya

Templeton sentiasa ke tempat di mana terdapatnya peluang. Sebagai contoh, pada awal tahun 1970-an, beliau melabur dengan jumlah yang banyak di Jepun biarpun ketika itu perbuatan itu dianggap sebagai lapuk dan ketinggalan. Namun begitu, melalui pelaburan itu beliau menemui syarikat yang harganya masih rendah , dalam masa yang sama sedang berkembang dengan pesat. Pada tahun 1974, 62% dari dana beliau ada di dalam saham syarikat Jepun, akan tetapi ketika itu Jepun hanya mewakili sebanyak 12% sahaja dari pasaran global.

 

#7 Berani Mengubah Fikiran

Pada tahun 1978, kurang dari 10% dana beliau ada di dalam saham syarikat Jepun. Hal ini kerana, ketika harga saham Jepun melonjak naik, beliau menjual sebahagian darinya. Pada tahun 1989 pula, pasaran Jepun mula berkembang dan merangkumi sebanyak 40% dari keseluruhan pasaran global. Ketika itu, pelaburan Templeton di Jepun sudahpun menghampiri sifar. Pasaran negara matahari terbit itu tidak akan turun dari harga yang telah meningkat naik dari tahun 1978 ke 1989. Apa yang penting, beliau tidak terikat dengan satu idea sahaja dan di sini apa yang dapat kita lihat ialah tindakan beliau dipengaruhi oleh keadaan pasaran. Semua aset adalah untuk dibeli dan dijual pada masa yang tepat.

 

#6 Fokus Pada Pegangan

Templeton sering membuat pertaruhan yang besar sekiranya beliau yakin dengan hujahnya. Sebagai contoh pada tahun 1969, pegangan terbesar Templeton merupakan 15% daripada dana beliau. Dan seperti yang dibincangkan di atas tadi, beliau pernah mempunyai lebih dari 60% pelaburan dalam saham Jepun. Ini adalah corak sepanjang kariernya.

 

#5 Banyak Mengembara

Beliau berkata bahawa sangat penting untuk mengembara keluar negara. Mengembara bukan sekadar untuk mencari idea, malahan ia juga dapat mengajar kita tentang dunia. Pentingnya mengembara, dari segi ekonomi adalah untuk memahami dan mempersoalkan teori-teori ekonomi sedia ada. Beliau pernah menulis,

 

“It gives us deeper respect for the fact that the most unexpected things can happen and often do.”

#4 Prestasi Beliau Meningkat Apabila Templeton Meninggalkan Wall Street

Templeton berpindah ke Bahamas pada tahun 1968. Di situ, beliau bekerja sendirian, jauh dari Wall Street. Kebiasaannya beliau akan menjalankan analisis sendiri dalam masa beberapa jam sehari. Sabar dan memahami, itulah sikap yang dimiliki Templeton. Pada masa kini, ramai pelabur yang hebat bekerja di luar Wall Street. Kenapa ya, dengan meninggalkan Wall Street, prestasinya meningkat? Mungkin jauh dari kesibukan?

 

#3 Templeton Tidak Selalunya Bagus

Penting untuk kita fahami bahawa pelabur yang hebat juga ada hari yang buruk, yang mana membuatkan mereka kelihatan teruk di khalayak ramai. Templeton tidak terlepas. Beliau pernah mengalami kerugian. Dana yang diuruskannya pernah mengalami penyusutan nilai hampir 25% sepanjang 38 tahun karier beliau. Sepanjang tahun 1971 hingga tahun 1975, media massa kerap kali menulis tentang prestasi Templeton yang semakin merudum. Beliau seperti hilang sentuhan ketika itu. Jika situasi yang sama terjadi pada hari ini, sudah tentu ramai pelabur akan mempersoalkan kredibiliti pengurus dana disebabkan berita buruk yang disiarkan oleh media massa.

 

#2 Secara Purata, Menyimpan Saham Selama 4 Hingga 5 Tahun

Templeton meminta supaya prestasinya dinilai oleh para pelabur dalam tempoh 4 hingga 5 tahun. Ini kerana, secara purata beliau menyimpan saham selama tempoh itu. Terdapat segelintir pelabur yang menyimpan saham dalam jangka masa pendek seperti setahun dua. Golongan ini ibarat seperti pekebun yang mencabut pohonnya sendiri sebelum dapat merasa hasil buahnya.

 

#1 20 Tahun Terakhir Adalah Tahun Terbaik Templeton

Ketika Templeton mengambil keputusan untuk bersara, beliau sudah pun berusia 80 tahun! Benar, hidup dan mati itu di tangan Tuhan, tetapi secara optimistik kita juga masih ada masa untuk berjaya seperti beliau.

 

Sikap, pendekatan dan cara pelaburan Templeton wajar diikuti dan dijadikan sebagai asas dalam dunia pelaburan. Saya berharap, pembaca dapat input yang berguna dari artikel ini. Saya doakan anda semua selamat maju jaya dan terus berjaya dalam kehidupan baik dari segi kesihatan dan juga kewangan.

 

Baca juga : Kisah The Stock Market Emperor – Joseph Granville

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)

error: Content is protected !!