Tips Kebebasan Kewangan

Pernah anda terfikir bagaimana golongan kaya T20 terus kaya dan golongan kelas pertengahan M40 terus bergelut dengan masalah kewangan? Jawapan untuk persoalaan ini adalah, golongan kaya menguruskan kewangan dan aliran tunai mereka dengan cara yang betul. Berbeza buat golongan kelas pertengahan, rata-rata mereka tidak mengurus atau tidak mempunyai pengetahuan untuk mengurus aliran tunai mereka dengan cara yang betul. Dalam artikel kali ini, penulis akan kongsikan pengajaran yang terdapat dari buku Rich Dad Poor Dad hasil penulisan Robert T. Kiyosaki.

 

Pengajaran dalam buku ini dapat memberi anda pengetahuan tentang tips kebebasan kewangan dan cara menguruskan aliran tunai dengan baik supaya anda dapat menikmati kebebasan kewangan. Kemanakah aliran tunai anda dibelanjakan? Aliran tunai dapat dibahagikan kepada 4 kategori, iaitu pendapatan, pembelanjaan, liabiliti dan aset. Dalam artikel ini penulis akan kongsikan gambar rajah perbezaan aliran tunai golongan kaya dan golongan kelas pertengahan. Sebelum memahami aliran tunai yang sihat, kita terdahulu harus fahami maksud aset dan liabiliti yang sering kita salah fahami.

 

tips pengurusan kewangan

 

Apakah maksud aset dan liabiliti?

Lupakan fahaman dan pendapat konvensional tentang maksud aset dan liabiliti. Sesetengah penasihat kewangan akan memberitahu anda bahawa rumah anda adalah aset. Realitinya, rumah bukanlah aset tapi ianya adalah liabiliti jika anda perlu membayar hutang pembelian, melainkan rumah itu diberi sewa untuk mengaut pulangan pelaburan. Dalam erti kata mudah, aset adalah apa-apa yang menyumbang kepada aliran tunai pendapatan, manakala liabiliti adalah apa-apa yang mengeluarkan aliran tunai dari akaun anda. Aset bukan hanya terikat kepada hartanah, ianya boleh wujud dalam pelbagai bentuk. Pemilikan syarikat perniagaan, pelaburan, platform digital yang memberi wang pendapatan juga antara contoh aset.

 

Mencapai kebebasan kewangan

Golongan kelas pertengahan sering bergelut dengan masalah kewangan dan terperangkap dalam rat race kerana memiliki liabiliti yang melebihi keperluan dan kemampuannya. Apakah kesannya? Anda akan terus terikat dengan pihak bank dan majikan, justeru terpaksa mengabdikan masa, wang dan tenaga untuk mengutamakan pembayaran hutang selama bertahun-tahun dan terus terperangkap dalam rat race tanpa mempunyai peluang untuk mengembangkan harta demi mencapai kebebasan kewangan.

 

Perkara yang sama tetap akan berlaku walaupun pendapatan mereka meningkat. Bila pendapatan mereka meningkat, mereka akan meningkatkan jumlah liabiliti dan tanggungan hutang. Akhirnya masalah kewangan tidak akan pernah selesai. Di sinilah perbezaan antara golongan pertengahan dan golongan kaya. Golongan kaya berusaha untuk meningkatkan jumlah aset yang bakal menambahkan aliran tunai kepada pendapatannya tanpa menukarkan masa untuk wang. Bila aset mereka sudah membuahkan hasil dan dengan liabiliti yang ditahap optimum, mereka akan perolehi kebebasan kewangan. Mereka tidak lagi perlu bekerja untuk wang, sebaliknya wang dan aset yang akan terus bekerja untuk mereka.

 

Jadi, golongan kelas pertengahan membelanjakan kepada kemewahan dahulu sebelum bekorban dan berusaha untuk mengembangkan harta demi kewangan yang stabil. Golongan kaya pula fokus untuk mengembangkan harta terdahulu sebelum membelanjakan lebihan wang kepada kemewahan yang dalam kemampuan mereka. Pelaburan kepada aset adalah seperti menanam pokok, anda tidak mahu atau perlu menebang seluruh pokok hanya untuk menikmati buahnya, perkara sama yang patut anda lakukan terhadap wang pendapatan yang anda perolehi dari hasil titik peluh. Tidak salah untuk memberi ganjaran kepada diri selepas bekerja keras, namun apa yang penting adalah kesederhanaan.

 

 

tips pengurusan kewangan

Langkah kebebasan kewangan

Pertama, optimumkan pembelanjaan anda dengan cara berhenti atau kurangkan pembaziran dan ketirisan yang melampau. Kurangkan berbelanja kepada makanan yang tidak sihat, ianya memudaratkan wang dan kesihatan anda. Berhenti menghabiskan wang kepada ketagihan dan kurangkan pembelanjaan kepada hiburan.

 

Kedua, berhenti membeli liabiliti yang anda tidak perlukan atau yang melebihi keperluan. Anda tidak memerlukan kereta berjenama mewah untuk ke kerja. Amalkan pendekatan minimalis dalam membelanjakan wang, dan kurangkan berbelanja kepada perkara atau kebendaan yang tidak menambah nilai hidup anda. Rata-rata dari kita sering menghabiskan wang untuk menampak gah dihadapan khalayak dan kenalan, namun membelanjakan wang untuk dikagumi adalah cara terpantas untuk memusnahkan peluang kebebasan kewangan anda.

 

Yang terakhir, belajar untuk melabur dan memiliki aset dengan cara yang betul. Wang RM10,000 yang anda simpan pada hari ini tidak akan sama nilainya pada 1 atau 2 tahun dari sekarang. Selamatkan wang anda dari susut nilai kesan dari inflasi. Namun setiap peluang kejayaan pasti hadir bersama risiko kerana peluang dan risiko tidak akan pernah bercerai-berai, ianya datang berpasangan. Jadi perlu diingatkan, hanya melabur dan memiliki aset yang anda fahami dan sedar akan risikonya. Pelaburan yang terbaik adalah pelaburan kepada ilmu pengetahuan diri anda. Laburkan masa untuk ilmu terdahulu sebelum melabur kepada mana-mana aset. Dengan kemudahan internet pada hari ini, anda dapat akses ilmu pengetahuan dengan mudah dan percuma.

 

Langkah mengurus aliran tunai yang positif kedengaran mudah, namun hakikatnya inilah yang ramai sering gagal untuk melakukan. Membina kebebasan kewangan ibarat menanam pokok, ianya memerlukan kesabaran dan disiplin. Sesudah pokok itu tumbuh, anda dapat berteduh dibawahnya dan menikmati hasil buahnya.

 

Baca juga : Senarai Peristiwa Kejatuhan Pasaran Terburuk Dalam Sejarah

Ikuti twitter penulis di sini : https://twitter.com/Dan_Alsagoff

Golongan kaya tidak bekerja untuk wang, sebaliknya wang yang bekerja untuk mereka – Robert T. Kiyosaki.

4 thoughts on “Tips Kebebasan Kewangan

  1. Berapakah peruntukan bajet untuk pelaburan? Boleh ke peruntukan untuk simpanan digantikan menjadi peruntukan untuk pelaburan? Contoh*: 10% daripada income digunakan untuk melabur instead of saving. Ataupun pelaburan dan simpanan perlu ada peruntukan yang berbeza. Contoh: 10% daripada income untuk saving dan another 10% daripada income untuk pelaburan.

    1. Saja nak kongsi pendapat.
      Seeloknya, penuhkan dulu tabung simpanan kecemasan 3-6 perbelanjaan bulanan.
      Kalau sebulan pakai rm4k, paling kurang kena ada simpanan rm12-24k.
      Duit simpanan boleh letak kat tempat yg secure dan senang withdraw, tp msih bagi pulangan lagi tinggi dari saving account, mcm FD, TH atau ASB.

      Lepas dah setel simpanan 3-6 bulan, duit simpanan bulan² tu boleh start labur, dgn minda yg jelas, psikologi yg tenang dan emosi terbaik.

      1. Menarik. Setuju, tabung simpanan kecemasan amat penting dan perlu diutamakan. Pelaburan berisiko rendah seperti yang dinyatakan oleh encik Adib juga pilihan yang baik jika baru mula melabur.

  2. Saja nak kongsi pendapat.
    Seeloknya, penuhkan dulu tabung simpanan kecemasan 3-6 perbelanjaan bulanan.
    Kalau sebulan pakai rm4k, paling kurang kena ada simpanan rm12-24k.
    Duit simpanan boleh letak kat tempat yg secure dan senang withdraw, tp msih bagi pulangan lagi tinggi dari saving account, mcm FD, TH atau ASB.

    Lepas dah setel simpanan 3-6 bulan, duit simpanan bulan² tu boleh start labur, dgn minda yg jelas, psikologi yg tenang dan emosi terbaik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)

error: Content is protected !!