Sejarah Campur Tangan Barat Di Iran

Sejarah campur tangan barat di Iran
Shah Iran, Mohamed Reza, bergambar bersama keluarga baginda (credit : The Times)

Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan sejarah campur tangan barat di Iran. Pada tahun 1979, bertempat di Tehran. Revolusi Islam (turut dikenali sebagai Revolusi Iran & Enghelab Eslami) dan krisis tebusan kedutaan Amerika Syarikat telah mengejutkan dunia. Kesan domino membawa Iran moden jatuh ke tangan pemimpin revolusi, Ayatollah Ruhollah Khomeini. Sebenarnya perancangan untuk revolusi ini telah dimulakan lebih awal sejak campur tangan CIA dalam rampasan kuasa 1953 yang dikenali sebagai Operasi Ajax.

 

Menerusi Operasi Ajax, CIA telah bekerjasama dengan MI6 memperalatkan Reza Pahlevi menggulingkan Perdana Menteri Iran pada waktu itu, Mohammad Mossadegh. CIA dan MI6 memanfaatkan kuasa media untuk menghasut rakyat Iran agar tidak mempercayai kepimpinan Perdana Menteri Mossadegh.

 

Britain sudah tentu mempunyai alasan untuk merangka pelan rampasan kuasa terhadap kerajaan Mossadegh dengan melibatkan Amerika Syarikat. Britain tidak berpuas hati dengan dasar Mossadegh menasionalisasikan industri minyak Iran kerana ia merugikan syarikat minyak Anglo-Persian, sekarang dikenali dengan nama British Petroleum (BP).

 

Anglo-Persian Oil Company
Kenderaan Anglo-Persian Oil Company 1950-an (Credit : History Porn)

 

Anglo-Persian telah diberi hak monopoli dan pengurusan sepenuhnya sumber minyak Iran sejak tahun 1931. Mossadegh adalah seorang doktor yang berideologi anti-kapitalisme. Oleh itu, sejak berkuasa pada fahun 1951, beliau melaksanakan dasar menasionalisasikan minyak Iran kerana sebelum ini Anglo-Persian yang menguasai keuntungan dari penjualan minyak negara itu.

 

Iran mesti menerima kesan dari dasar Mossadegh itu. Pengeluaran minyak Iran merosot apabila Anglo-Persian menghentikan pengeluaran dan ini bermakna pendapatan Iran daripada eksport minyak terganggu. Krisis minyak di Iran juga menyebabkan krisis minyak dunia. Keadaan ini diperkuatkan oleh sikap Britain yang tidak berpuas hati dengan dasar Mossadegh.

 

Britain bersekutu dengan Amerika Syarikat menghalang lalu lintas utama minyak dunia di Teluk Parsi sehingga Selat Hormuz. Ini juga memberi kesan kepada ekonomi Iran. Amerika Syarikat bersedia membantu Britain kerana negara Uncle Sam itu juga mempunyai kepentingan tersendiri di Iran. Amerika Syarikat juga tidak selesa dengan keakraban hubungan Iran dan Soviet Union (Rusia) dan mahu mengakhiri hubungan diplomatik itu.

 

Tetapi pada mulanya tidak mudah bagi Britain untuk meyakin Amerika Syarikat untuk menerima panggilannya untuk menurunkan Mossadegh di Iran. Undangan Britain ditolak oleh Presiden Harry S. Truman. Pelan rampasan baru muncul apabila Truman digantikan dengan presiden baru, iaitu Presiden Eisenhower.

 

Sejarah Campur Tangan Barat Di Iran
Operation Ajax (Credit : Wired)

 

Operation Ajax

Selepas termeterai perjanjian antara Britain dan Amerika Syarikat, CIA menugaskan seorang ejen bernama Kermit Roosevelt Jr, cucu bekas Presiden AS Theodore Roosevelt untuk merancang operasi perisikan menggulingkan Mossadegh. CIA melantik Donald Wilber sebagai ketua Operasi Ajax.

 

Operasi Ajax bermula dengan menghasut rakyat Iran agar pro-Barat, mereka menghembuskan pelbagai isu untuk melemahkan sokongan rakyat terhadap Mossadegh dan mempengaruhi beberapa pegawai angkatan bersenjata Iran. Percubaan rampasan kuasa CIA pada 15 Ogos 1953 gagal.

 

Mossadegh kemudian memerintahkan Jeneral Taghi Riahi untuk menyiasat plot rampasan kuasa itu. Tetapi CIA berjaya menghalangnya dengan menyogok Jeneral Fazlollah Zahedi agar menangkap Jeneral Riahi. Percubaan rampasan kuasa pertama berjaya digagalkan. Kermit Roosevelt dan Jeneral Zahedi malah melarikan diri ke utara Iran.

 

Setelah kegagalan itu, CIA merancang revolusi baru dengan memanfaatkan media massa. CIA sengaja menyebarkan surat layang kepada pelbagai agensi berita yang kandungannya menunjukkan Shah Iran telah mengeluarkan keputusan untuk memecat Perdana Menteri Mossadegh dan melantik Jeneral Zahedi sebagai pengganti. Tetapi usaha ini juga tidak berjaya kerana kepercayaan dan sokongan orang ramai terhadap Mossadegh masih kuat.

 

CIA hampir berputus asa apabila melihat kerajaan Mossadegh berjaya menangkap ejen-ejen mereka yang direkruit di Iran. Malah selepas itu kerajaan telah mengenakan dasar yang lebih ketat pada media massa. Shah Iran yang pada awalnya menyokong plot rampasan kuasa CIA telah melarikan diri ke Baghdad.

 

Mohammed Mossadegh, Perdana Menteri Iran yang digulingkan pada tahun 1953 (credit : AFP)
Mohammed Mossadegh, Perdana Menteri Iran yang digulingkan pada tahun 1953 (credit : AFP)

 

CIA tidak mahu Operasi Ajax gagal. Di Baghdad, CIA berjaya memujuk Shah Iran untuk mengeluarkan perintah membubarkan pemerintahan Mossadegh. Keputusan yang disiarkan pada 19 Ogos oleh seluruh media massa di Iran telah mencetuskan rusuhan yang memaksa Mossadegh melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri. Dalam rusuhan itu, ribuan orang mati di jalanan.

 

Operasi Ajax merupakan salah satu operasi perisikan terbesar Amerika Syarikat yang berjaya. Shah Reza Pahlevi yang pro-Barat kembali ke Iran selepas itu. Syah Reza Pahlevi yang masih muda menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat, lantas memberi sebuah konsortium syarikat minyak antarabangsa tugas mengelola minyak Iran.

 

Shah Reza membenarkan Anglo-Persian kembali menguruskan minyak Iran bersama 5 syarikat minyak Amerika Syarikat, satu syarikat minyak Perancis termasuk Royal Dutch Shell. Keruntuhan kerajaan Mossadegh pada 20 Ogos 1953 juga menandakan berakhirnya demokrasi dan kedaulatan di Iran.

 

Ia juga menandakan permulaan 26 tahun pemerintahan penuh korupsi dan penindasan di bawah cengkaman Shah Reza. Kemarahan rakyat Iran telah membawa kepada Revolusi Iran 1979. Dalam revolusi tersebut, seramai 55 orang kakitangan kedutaan Amerika Syarikat dijadikan tebusan selama 444 hari.

 

Menariknya, dalam revolusi ini semua ideologi bergabung di bawah satu payung menentang Shah Reza, antaranya Islam, liberal, sekular, Marxist dan Komunis. Menerusi artikel ini, adalah penting untuk kita memahami kesan domino bersejarah campur tangan kuasa luar dalam sesebuah negara yang bermula dari faktor monopoli ekonomi.

 

Baca juga : 100 Tahun Sejarah Penyelidikan Pasaran

 

“However good the guarddog is, it stops being useful the moment it bites the hands of its master’s child, and must be banished.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)

error: Content is protected !!