Coronavirus Dan Spanish Flu : Pengajaran Dari Wabak Berskala Global

Coronavirus dan spanish flu, apa pengajaran yang kita dapat perolehi dari wabak berskala global ini? Sejak berita mengenai penyebaran wabak coronavirus (COVID-19) timbul, pasaran kewangan global bertindak balas begitu pesimis dengan menunjukkan kesan yang tidak pernah dilihat sejak krisis kewangan 2008 dahulu. ‘Spanish flu’ merupakan salah satu pandemic yang hampir serupa dengan keadaan sekarang.

Selsema 1918 merupakan wabak yang benar-benar memberi kesan secara global. Wabak ini menyerang peradaban manusia jauh sebelum kewujudan badan kesihatan awam antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Dilaporkan satu pertiga populasi dunia mengalami jangkitan saluran pernafasan ini.

 

Spanish Flu
Spanish Influenza Pandemic (Foto : Courtesy US Naval Historical Center)

 

Anggaran konservatif meletakkan angka kematian pada 20 juta kematian, tetapi jumlah sebenar dikatakan lebih dari 50 juta kematian. Jika dianggarkan, kematian akibat wabak ini jauh lebih banyak berbanding kematian Perang Dunia Pertama yang hanya mencatatkan kematian sebanyak 9 juta sahaja.

 

Dikatakan 2-3% individu yang dijangkiti virus pernafasan tersebut berakhir dengan kematian, namun bagi yang masih hidup, virus mengakibatkan komplikasi lain seperti pneumonia. Terdapat beberapa gelombang terjadi dan kematian terbanyak dicatatkan dalam masa seminggu pertama wabak tersebut mula menular. Penularan terakhir dikatakan pada 1919, setelah setahun kes pertama wabak tersebut dilaporkan.

 

Wabak Spanish Flu tersebar secara global kerana terdapat beberapa keadaan yang memudahkan penyebarannya. Antaranya ialah Perang Dunia yang baru sahaja tamat dan tentera pulang dengan membawa penyakit. Wabak dengan mudah merebak di sepanjang laluan pengangkutan utama.

 

Kebanyakan populasi dunia sudah lemah dan mudah diserang wabak kerana ketegangan perang, terutamanya Jerman. Keadaan bertambah buruk apabila tiada ketelusan dalam pencegahan. Media masa masih fokus terhadap perang yang masih berlaku dan kerajaan sibuk dengan perancangan untuk mencapai pendamaian.

 

Kebanyakan yang mati akibat wabak berusia antara 15 hinga 40 tahun. Individu yang terdedah terhadap wabak ini turut mempunyai kesan fizikal dan mental jangka panjang yang serius, terutamanya bagi yang masih muda. Kesan akibat wabak ini turut dirasai dari segi ekonomi. Wabak ini turut membuktikan bahawa penyebarannya turut dipengaruhi oleh pencemaran. Penyelidik mendapati lebih banyak kematian dicatatkan di bandar yang tercemar berbanding bandar yang kurang tercemar pada 1918. Situasi ini menunjukkan hubungan lansung antara pencemaran dan jangkitan influenza.

 

Kesan Ekonomi Akibat Covid-19
Kesan Ekonomi Akibat Covid-19 (Sumber : RaboResearch, IMF, Macrobond)

 

Kesan terhadap Ekonomi

Ekonomi terkesan secara lansung akibat penyebaran wabak tersebut dan menimbulkan keadaan panik dalam kalangan peserta pasaran. Bandar besar Amerika Syarikat seperti New York dan Philadelphia ditutup sementara kerana kebanyakan penduduknya telah terkesan dengan wabak tersebut. Keadaan tersebut tiada bezanya dengan keadaan di Itali sekarang dimana perniagaan ditutup, acara sukan dibatalkan, pertemuan peribadi dihalang- bertujuan untuk membendung penyebaran wabak Covid-19.

 

Kesan ekonomi akibat penyebaran wabak ini termasuk kekurangan tenaga pekerja dan kenaikan gaji. Penggunaan system social sekuriti turut meningkat akibat wabak ini. Ahli ekonomi tidak bersetuju dengan angka KDNK yang menurun akibat kesan wabak kerana mereka berpendapat bahawa masih terdapat kesan peperangan yang turut mempengaruhi angka KDNK ketika itu.

 

Kesan jangka masa panjang terbukti lebih menakutkan. Penyelidikan menunjukkan bahawa kelahiran dari pesakit wabak ini mempunyai pencapaian pendidikan yang lebih rendah setelah meningkat dewasa, berpendapatan lebih rendah dan berstatus sosio ekonomi lebih rendah berbanding mereka yang lahir sebelum wabak ini mula menular.

 

 

Pengajaran Masa Lalu

1918 merupakan tahun yang begitu memberi kesan kepada peradaban manusia. Pertama, pasukan kesihatan awam yang bertanggungjawab terhadap wabak haruslah menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembendungan wabak tersebut. Akibat kekurangan usaha pembendungan wabak inilah yang memberi kesan terlalu banyak kematian dan individu yang dijangkiti wabak pada gelombang pertama wabak ini menular.

 

Rakyat terdedah kepada wabak akibat pihak bertanggungjawab gagal menghalang penyebaran. Bahkan, tindakan mereka sebenarnya merancakkan penyebaran wabak ini. Penghantaran balik tentera dari perang ke negara asal meraka merupakan antara sebab utama penyebaran wabak ini.

 

Dasar kawalan penyakit berjangkit dikatakan berjaya. Penyelidik mendapati bahawa bandar bandar di Amerika Syarikat yang melaksanakan usaha untuk mengurangkan hubungan antara pesakit dan orang awam pada awal 1918 telah menunjukkan angka kematian yang jauh lebih rendah berbanding dengan bandar yang lambat melaksanakan dasar kawalan penyakit berjangkit ini.

 

Pengajaran kedua yang dapat kita pelajari dari wabak yang lalu adalah penyebaran maklumat secara telus. Media tidak seharusnya mengamalkan amalan ‘media blackout’ atau pemadaman media, atau lebih buruk lagi adalah kempen nyah maklumat secara aktif. Dalam era golbalisasi dan maklumat dihujung jari, semua pihak harus bersatu dan berkongsi maklumat yang telus dalam usaha memerangi wabak yang mampu menghapuskan peradaban dunia ini.

 

Kebenaran tetap akan tegak berdiri. Tiada manfaat yang boleh kita dapati dari merahsiakannya, bahkan, kerajaan mempunya potensi untuk hilang kuasa sekiranya maklumat yang sepatutnya sampai kepada orang awam disekat. Ahli sains politik kini hadir dengan pelbagai spekulasi mengenai kesan politik jangka masa panjang akibat manipulasi media yang dilakukan oleh China mengenai Coronavirus.

 

Covid-19
Foto : National Interest

 

Pengajaran ketiga adalah kita seharusnya bersedia menghadapi kesan wabak ini terhadap ekonomi dan peradaban manusia yang mungkin akan diteruskan dengan normalisasi baharu selagi tiada vaksin dapat ditemui. Penyebaran wabak ini telah memberi satu kejutan kepada penawaran dan permintaan. Semakin tinggi penularan sesuatu wabak, semakin tinggi kesan ekonomi yang ditimbulkan. Kehilangan tenaga kerja kesan dari perlaksanaan pengasingan diri selama 14 hari yang disyorkan untuk kes yang disyaki akan membawa kesan ekonomi yang sangat serius.Penutupan wilayah atau negara, seperti yang berlaku di Itali dan China, akan menyebabkan kemelesetan ekonomi.

 

Penurunan kadar faedah kecemasan di Amerika Syarikat dan England merupakan antara langkah polisi terawal yang dilakukan dalam usaha untuk membendung kesan buruk Covid-19 terhadap ekonomi. Polisi fiskal baru turut diperkenalkan. Individu yang berpendapatan rendah merupakan golongan yang memerlukan perhatian. Dengan situasi kos perubatan yang semakin meningkat, keadaan ini akan menjadi salah satu punca utama untuk orang ramai terpaksa terus pergi bekerja seperti biasa walaupun mereka masih mempunyai virus yang aktif.

 

Seperti 1918, individu di kawasan yang urban yang tercemar mempunyai risiko penyebaran yang lebih tinggi. Mereka merupakan populasi yang berisiko terhadap penyakit pernafasan akibat factor alam sekitar. Langkah pencegahan awal perlu diutamakan terhadap populasi sedemikian. Selain itu, bayi yang baru lahir dari ibu yang dijangkiti wabak juga perlu diberi perhatian serius dan langkah pemulihan secara berkala perlu dirancang.

 

Perhatian perlu dialih dari nombor kadar kematian kepada mereka yang masih terselamat dari wabak, dan kelahiran mereka. Adakah kita mampu bekerjasama dalam memerangi penularan wabak Covid-19 in setelah Perintah Kawalan Pergerakan semakin diringankan dari hari ke hari? Sama sama kita amalkan penjarakkan social, penjagaan kebersihan dan mengelakkan dari berkumpul secara besar besaran.

 

Baca juga : Bagaimana Keadaan Dunia Selepas Lockdown Berakhir

Sumber: The Conversation

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)

error: Content is protected !!