Panduan Asas Perdagangan Indeks

 

Indeks seperti DAX dan Dow Jones seringkali menjadi berita utama dalam dunia kewangan, hampir setiap hari. Apa sebenarnya indeks dan bagaimana pedagang boleh mendapat keuntungan melalui perdagangan indeks? Mari kita mulakan dengan asas-asasnya. Indeks adalah ukuran prestasi syarikat-syarikat utama yang tersenarai dalam pasaran saham. Ia dapat digunakan untuk menilai prestasi sektor ekonomi atau ekonomi sesebuah negara.

 

Indeks pertama dicipta pada tahun 1885 oleh editor Wall Street Journal dan pengasas bersama Dow Jones & Company, iaitu Charles Dow. Sebelum era digital, harga indeks dikira dengan menggunakan simple average, iaitu dengan menambah harga saham syarikat-syarikat utama dan membahagikannya dengan bilangan kesemua syarikat yang tersenarai. Ia mungkin kedengaran terlalu mudah pada zaman kita, tetapi ia memenuhi tujuan untuk memberikan angka yang boleh dipercayai dalam mengukur kekuatan ekonomi.

 

Market-Weighted vs. Price-Weighted

Indeks hari ini menggunakan formula yang berbeza dalam menentukan harganya dan ia dapat dibahagikan kepada dua kategori utama :

 

1. Market-Weighted
Market-weighted indices dikira berdasarkan total market value. Ini bermaksud, semakin besar syarikat, semakin besar kesannya terhadap indeks. Kaedah ini biasa digunakan, sebagai contoh FTSE dan DAX.

 

2. Price-Weighted
Indeks jenis ini dikira berdasarkan harga saham syarikat. Dalam kes ini, syarikat dengan harga saham yang lebih tinggi memberi kesan yang lebih besar kepada keseluruhan indeks berbanding syarikat dengan harga yang lebih rendah.

 

perdagangan indeks
Indeks Utama Dunia (Sumber : Capital)

 

Indeks Utama Dunia

1. FTSE (UK100)
Merangkumi beberapa syarikat terbesar yang dikawal selia oleh undang-undang UK. Harus diingat bahawa tidak semua syarikat yang tersenarai dalam UK100 berpusat di UK. Indeks dikira dalam masa nyata dan harganya diterbitkan detik demi detik pada waktu pasaran terbuka. Dari segi sektor, ia tertumpu pada tenaga, perkhidmatan kewangan, perlombongan, farmasi dan minyak & gas. Antaranya syarikat yang termasuk dalam indeks ini, seperti :

 

  • Barclays
  • Burberry
  • Experian
  • Glencore
  • HSBC
  • Just Eat
  • Royal Mail
  • Tesco
  • Vodafone Group

 

2. DAX (GER30)
GER30 juga dikenali sebagai indeks saham DAX, ia terdiri daripada 30 buah syarikat utama Jerman berdasarkan permodalan pasaran (market cap). DAX adalah antara indeks yang paling banyak diperdagangkan di seluruh dunia kerana turun naik secara konsisten dan julat harian yang lebih tinggi berbanding indeks lain. Syarikat yang membentuk indeks DAX termasuk dalam jenama-jenama besar di Jerman yang memiliki kepentingan global, misalnya :

 

  • Adidas
  • Allianz
  • BMW
  • Daimler
  • Deutsche Bank
  • Lufthansa
  • E.ON
  • SAP
  • Siemens
  • Volkswagen Group

 

3. S&P 500 (SPX500)
SPX500 turut dipanggil S&P 500, tanpa ragu-ragu lagi ia merupakan indeks paling terkenal di dunia. SPX500 dicipta oleh syarikat penerbitan Standard & Poor’s dan indeks ini merangkumi 500 syarikat gergasi di Amerika Syarikat. Oleh kerana hubungannya yang kuat dengan pasaran lain, SPX500 menjadi pilihan yang popular dikalangan pedagang. Selain itu, ia mewakili kira-kira 80% daripada jumlah keseluruhan nilai pasaran saham Amerika Syarikat. Sebahagian komponen dalam S&P 500 termasuk :

 

  • Microsoft
  • Apple Inc
  • Amazon
  • Alphabet
  • Facebook

 

4. DOW JONES (US30)
US30 atau nama lainnya Dow, adalah indeks saham yang paling dikenali di dunia, ia digunakan untuk mengukur prestasi 30 buah syarikat dalam sembilan sektor teras pasaran. Ciri unik indeks ini adalah pergerakannya digunakan sebagai petunjuk dalam mengukur sentimen risiko di seluruh dunia. US30 mewakili kira-kira 1/4 daripada nilai keseluruhan pasaran saham Amerika Syarikat dan juga mewakili pasaran blue chip & dividen-value.

 

Seperti mana UK100, kepelbagaian sektor yang ditunjukkan dalam indeks US30 bermaksud bahawa indeks ini kurang sensitif terhadap volatility melampau yang mempengaruhi pergerakan harga sesuatu saham. Beberapa jenama dan syarikat ikonik termasuk dalam indeks ini, antaranya :

 

  • Apple
  • Boeing
  • Caterpillar
  • Coca-cola
  • Intel
  • McDonald’s
  • Microsoft
  • Nike
  • Visa
  • Walt Disney

 

 

5. NASDAQ (US100)
NASDAQ adalah indeks saham Amerika Syarikat yang mewakili sektor teknologi. Ia merupakan indeks saham utama Amerika Syarikat selepas S&P 500 dan Dow Jones. Ia juga digunakan sebagai petunjuk dalam menilai sikap pelabur terhadap saham yang lebih spekulatif iaitu syarikat dengan permodalan pasaran yang kecil. Indeks NASDAQ terdiri daripada nama-nama besar seperti :

 

  • Apple
  • Tesla
  • Cisco
  • Seagate
  • Intel
  • Adobe
  • Activision
  • NVIDIA
  • Netflix

 

6. NIKKEI (JPN225)
JPN225 juga digelar sebagai Nikkei 225. Indeks ini adalah yang paling terkenal di Tokyo Stock Exchange dan menjadi petunjuk utama prestasi ekonomi Jepun. Memandangkan Jepun adalah ekonomi yang berorientasikan eksport, tidak hairanlah Nikkei 225 sangat berkolerasi dengan pasaran saham Amerika Syarikat. Selain itu, Nikkei adalah indeks saham tertua di Asia. Antara syarikat terkenal yang menjadi komponen Nikkei adalah :

 

  • Canon
  • Sony
  • Toyota Motor
  • Ajinomoto
  • Nippon Paper
  • Fujifilm
  • Nissan Chemical
  • Yokohama Rubber
  • Casio Computer
  • Panasonic
  • Mitsubishi Electric

 

7. ASX (AUS200)
AUS200 atau nama lainya ASX200 merupakan indeks pasaran saham yang merangkumi 200 buah syarikat utama di Australia. Indeks ini menjadi penanda aras Australia kerana liquidity dan tradable. 10 saham terbesar dalam AUS200 menyumbang lebih dari 44% indeks. 5 daripada 10 saham ini terdiri daripada kumpulan perbankan, manakala sektor kedua terbesar adalah material (bahan mentah). Antara syarikat yang termasuk dalam ASX :

 

  • Sonic Healthcare
  • Amcor
  • Suncorp Group
  • Insurance Australia
  • Santos
  • Wesfarmers
  • ANZ Banking
  • Westpac Banking
  • Commonwealth Bank

 

8. CAC (FRA40)
FRA40 atau CAC, adalah indeks penanda aras pasaran saham Perancis. Memandangkan Perancis adalah salah satu ekonomi utama dalam Kesatuan Eropah, maka FRA40 digunakan secara meluas untuk menilai kesihatan ekonomi Eropah. Walau bagaimanapun, DAX Jerman tetap menjadi pilihan utama pedagang. Syarikat-syarikat yang menjadi komponen dalam CAC seperti berikut :

 

  • Airbus
  • BNP Paribas
  • Carrefour
  • Hermès
  • LOréal
  • Peugeot
  • VINCI

 

9. EURO STOXX (ESTX50)
ESTX50 atau Euro Stoxx 50, terdiri daripada 50 buah syarikat terkemuka di Eropah dan sering disebut sebagai European Dow Jones. Ia merupakan indeks pasaran utama bagi pelabur yang ingin mengikuti pelaburan saham ekuiti dalam Eurozone. Antara jenama yang termasuk dalam indeks ini :

 

  • Adidas
  • Allianz
  • BMW
  • ING Group
  • Nokia
  • Phillips
  • Santander
  • Siemens
  • Volkswagen

 

Pergerakan Harga Indeks Dipengaruhi Oleh Beberapa Faktor, Antaranya :

1. Peristiwa politik
2. Peristiwa ekonomi
3. Peristiwa yang mempengaruhi syarikat dalam sektor tertentu
4. Data ekonomi

 

Indeks sama ada berdasarkan wilayah atau sektor berfungsi sebagai petunjuk terbaik untuk sentimen pasaran yang berlaku. Oleh sebab ekonomi saling berkaitan, tidak menghairankan apabila indeks cenderung mempunyai korelasi antara satu. Hubungan antara peristiwa ekonomi global dan corak harga indeks adalah kunci utama bagi pedagang yang ingin mengambil bahagian dalam pasaran indeks.

 

Maklumat paling penting mengenai indeks adalah perubahan harian dan jumlah naik turun mata apabila pasaran dibuka. DAX sebagai contoh, sekiranya anda berpendapat prospek ekonomi Jerman adalah positif, anda akan membeli DAX CFDs dengan jangkaan bahawa syarikat-syarikat di Jerman akan menyumbang kepada kenaikan harga indeks.

 

Penting untuk diingat, kadang-kadang indeks mungkin naik bukan disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi sebenar, tetapi hanya disebabkan oleh peningkatan risk appetite dikalangan peserta pasaran. Situasi seperti ini bagaimanapun tidak dapat bertahan lama dan pembetulan harga mungkin akan menyusul selepas itu.

 

Waktu Urus Niaga Indeks

UK100Cash       = 6:00 am – 4:00 am
US100Cash       = 6:00 am – 4:00 am
US30Cash         = 6:00 am – 4:00 am
US500Cash       = 6:00 am – 4:00 am
GER30Cash       = 6:00 am – 4:00 am
JP225Cash        = 6:00 am – 4:00 am
AUS200Cash     = 7:00 am – 4:00 am
SINGCash         = 8:00 am – 4:00 am
HK50Cash        = 9:00 am – 12:00 am
CHI50Cash       = 9:00 am – 4:00 am
EU50Cash        = 2:00 pm – 3:00 am
FRA40Cash      = 2:00 pm – 3:00 am
NETH25Cash   = 2:00 pm – 3:00 am
SWI20Cash      = 2:00 pm – 3:00 am
GRE20Cash      = 3:00 pm – 9:00 pm
POL20Cash      = 3:00 pm – 10:00 pm
IT40Cash          = 3:00 pm – 11:00 pm
SPAIN35Cash   = 3:00 pm – 1:00 am

* Mengikut waktu Malaysia

 

Rujukan : Investopedia

Baca juga : Indicator Volume Dalam Trading

Ikuti kami di Telegram : Market Demon

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)

error: Content is protected !!