Sejarah Illuminati

Sejarah Illuminati

 

Dalam artikel minggu ini, kami kongsikan sejarah Illuminati. Pemikir Jerman, Adam Weishaupt pasti terpegun jika beliau mengetahui bahawa ideanya suatu hari nanti akan mendorong teori konspirasi global dan menjadi ilham kepada novel terlaris serta filem blockbuster. Dilahirkan pada tahun 1748 di Ingolstadt, sebuah kota di Bavaria (sekarang menjadi sebahagian dari Jerman), Weishaupt adalah keturunan Yahudi yang memeluk agama Kristian. Beliau menjadi yatim piatu pada usia muda, bapa saudaranya menguruskan pendidikannya.

 

Setelah menamatkan pengajiannya, Weishaupt menjadi profesor undang-undang di University of Ingolstadt. Beliau sentiasa dihantui dengan kegelisahan. Semasa kecil, Weishaupt sangat gemar membaca buk-buku falsafah Perancis. Bavaria pada masa itu sangat konservatif dan Katolik. Weishaupt bukan satu-satunya yang percaya bahawa monarki dan gereja menekan kebebasan berfikir.

 

Yakin bahawa idea beragama tidak lagi menjadi sistem kepercayaan yang mencukupi untuk mengatur masyarakat moden, beliau memutuskan untuk mencari “keterangan” lain, satu set idea dan amalan yang dapat diterapkan untuk mengubah secara radikal cara negara-negara Eropah ditadbir.

 

Freemasonry pada masa itu berkembang dengan pesat ke seluruh Eropah, menawarkan alternatif yang menarik buat pemikir bebas. Weishaupt pada mulanya berfikir untuk menyertai “lodge.” Namun kecewa dengan beberapa gagasan idea Freemason. Beliau kemudian tertarik dengan buku-buku yang bertemakan esoteris seperti Mysteries of the Seven Sages of Memphis & Kabbala. Weishaupt memutuskan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan rahsia sendiri.

 

Sejarah Illuminati
The Seven Sages (Credit : Ancient Pages)

 

Weishaupt tidak menentang agama, beliau hanya tidak bersetuju dengan cara ia diamalkan dan dikenakan. Pemikirannya, menawarkan kebebasan dari semua prejudis agama, memupuk kebajikan sosial dan menghidupkan prospek kebahagian sejagat. Untuk mencapai semua ini, adalah perlu untuk mewujudkan kebebasan dan kesetaraan moral dari pangkat dan kekayaan.

 

Pada malam 1 Mei 1776, Illuminati bertemu di hutan sekitar Ingolstadt. Dimandikan dengan cahaya lampu suluh, kira-kira lima orang lelaki berkumpul. Di sana mereka menetapkan peraturan yang mengatur perintah Illuminati. Semua kemasukan calon anggota baru pada masa hadapan memerlukan persetujuan ahli, dia mestilah memiliki reputasi yang hebat, jaringan sosial yang mantap dan kaya. Pada awalnya, keahlian mempunyai tiga tahap :

 

1. Novices.
2. Minervals.
3. Illuminated Minervals.

 

Minerval merujuk kepada Dewi kebijaksanaan Rom, Minerva, yang mencerminkan penyebaran ilmu pengetahuan atau pencahayaan tentang bagaimana masyarakat dan negara dapat dibentuk kembali. Pada tahun-tahun berikutnya, pertubuhan rahsia Weishaupt berkembang sehingga pada tahun 1782, Illuminati memiliki seramai 600 orang anggota. Mereka termasuk individu-individu penting di Bavaria seperti Baron Adolph von Knigge.

 

Walaupun pada mulanya Illuminati hanya terhad kepada pelajar Weishaupt, keanggotaannya diperluas termasuk kepada para bangsawan, ahli politik, doktor, peguam, hakim, serta beberapa penulis terkemuka termasuk Johann Wolfgang von Goethe. Pada tahun 1784, Illuminati mempunyai 2,000 hingga 3,000 orang anggota.

 

Sejarah Illuminati
Credit : Business Insider

 

Baron von Knigge memainkan peranan yang sangat besar dalam organisasi dan perkembangan pertubuhan ini. Sebagai bekas ahli Freemason, beliau memilih untuk menerapkan ritual seperti mereka. Anggota Illuminati diberi nama rahsia, simbolik dari zaman kuno, misalnya, Weishaupt adalah Spartacus, dan Knigge adalah Philo. Tahap keahlian juga menjadi hierarki yang lebih kompleks. Terdapat 13 darjah permulaan, dibahagikan kepada 3 kelas.

 

1. Kelas pertama – Illuminatus Minor
2. Kelas kedua – Illuminatus Dirigens
3. Kelas ketiga – King

 

Tekanan dari luar dan dalam, akan segera menghentikan perkembangan Illuminati. Weishaupt dan Knigge tidak sependapat dalam memperjuangkan tujuan dan prosedur perintah. Akhirnya Knigge meninggalkan pertubuhan rahsia itu. Pada masa yang sama, Joseph Utzschneider menulis sepucuk surat kepada Grand Duchess of Bavaria.

 

Menurut Utzschneider, Illuminati percaya bahawa bunuh diri adalah sah, musuh-musuhnya harus diracuni dan agama adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Beliau juga menyarankan agar Illuminati bersekongkol menentang Bavaria bagi pihak Austria. Setelah diberi amaran oleh isterinya, Duke-Elector of Bavaria mengeluarkan dekrit pada bulan Jun 1784 yang melarang penubuhan sebarang jenis pertubuhan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang.

 

Illuminati pada mulanya berpendapat bahawa larangan umum ini tidak akan langsung mempengaruhi mereka. Tetapi setahun kemudian, pemerintah Bavaria mengeluarkan arahan kedua yang lebih tegas untuk mengharamkan pertubuhan itu. Pada bulan Ogos 1787, Duke-Elector mengeluarkan dekrit ketiga dan menjatuhkan hukuman mati ke atas ahli pertubuhan haram. Weishaupt hilang jawatannya di Universiti of Ingolstadt dan dibuang negeri. Pemerintah Bavaria menganggap Illuminati sudah berjaya dibubarkan.

 

Warisan mereka bagaimanapun telah bertahan dan mendorong banyak teori konspirasi. Weishaupt dituduh dan difitnah membantu merancang revolusi Perancis. Illuminati turut dipersalahkan dalam peristiwa pembunuhan Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy. Idea Weishaupt juga mempengaruhi dunia fiksyen popular seperti Angels & Demons tulisan Dan Brown. Walaupun pertubuhan ini dibubarkan, ramai yang percaya bahawa pertubuhan rahsia tetap berada di belakang tabir kuasa sehingga hari ini.

 

Baca juga : Kisah The Stock Market Emperor

Ikuti kami di Telegram : Market Demon

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)

error: Content is protected !!