Kisah Michael Marcus Mengubah $30,000 Menjadi $80 Juta

Dalam artikel kali ini kami kongsikan kisah Michael Marcus yang berjaya mengubah $30,000 menjadi $80 Juta. Michael Marcus memulakan kerjayanya sebagai penganalisis penyelidikan komoditi untuk sebuah broker besar. Oleh kerana minat yang mendalam, Marcus meninggalkan jawatannya untuk memberi tumpuan kepada full time trading. Beliau menjadi salah seorang traders yang paling berjaya. Dalam masa beberapa tahun, keuntungannya melebihi jumlah keuntungan semua traders lain. Dalam tempoh 10 tahun sahaja, beliau menggandakan akaun syarikatnya sebanyak 2,500 kali ganda.

 

Bagaimana Marcus Mula Terlibat Dalam Pasaran Kewangan?

 

Kisah Michael Marcus
John Hopkins Universiti (kredit : Deccan Herald)

Pada tahun 1969, Marcus menamatkan pengajian di Johns Hopkins University, Phi Beta Kappa. Beliau mempunyai Ph.D dalam bidang psikologi, pada awalnya Marcus menjangkakan beliau akan menjalani kehidupan sebagai seorang profesor dalam bidang tersebut. Melalui seorang rakan, Marcus berkenalan dengan seseorang yang bernama John. John mendakwa beliau dapat menggandakan wang Marcus setiap dua minggu. Kedengaran sangat menarik. Marcus tidak pernah bertanya bagaimana John boleh melakukannya kerana pada ketika itu beliau terlalu naif.

 

Marcus mengupah John sebagai penasihat perdagangan komoditi. John merupakan junior Marcus ketika bersekolah dulu. Marcus mengupah John dengan bayaran sebanyak 30 USD seminggu. Marcus bermula dengan modal lebih kurang 1,000 USD. Menurut Marcus, pengalaman pertamanya ke brokerage house sangat mengujakan. Beliau berpakaian kemas ke pejabat Reynolds Securities di Baltimore. Tumpuan utamanya adalah commodity board di hadapan pejabat. Bunyi pembesar suara yang mengesyorkan pembelian soybean sedikit menakutkan Marcus. Beliau memandang John, mengharapkan ungkapan keyakinan di wajah penasihatnya itu. Sebaliknya, John membalas pandangan Marcus dengan pertanyaan,

 

“Adakah kau fikir kita patut melakukannya?” John ketawa.

 

Marcus mula sedar bahawa John sama sekali tidak tahu apa-apa. Mereka memulakan perdagangan dengan membuat pesanan. Sebaik sahaja pesanan mereka disahkan, harga soybean mula jatuh. Marcus segera berkata kepada John,

 

“Kita tidak melakukannya dengan baik, cepat keluar!”

 

Mereka kerugian kira-kira 100 USD dalam perdagangan itu. Perdagangan berikutnya adalah corn dan perkara yang sama terjadi. John bertanya kepada Marcus sama ada mereka harus meneruskan perdagangan. Menurut Marcus, sejak hari itu John tidak lagi terlibat dalam perdagangan. Walaupun pengalaman pertamanya tidak begitu baik, Marcus tidak pernah merasakan bahawa perdagangan bukan untuk dirinya. Beliau mempunyai reputasi akademik yang baik. Jadi, Marcus tahu bahawa beliau perlu belajar sesuatu sebelum berdagang sekali lagi.

 

Keuntungan Pertama Dan Kerugian Yang Lebih Besar

Beliau membaca buku-buku tulisan Chester Keltner berkenaan perdagangan wheat dan soybean. Beliau juga melanggan market letter. Marcus mengikut cadangan market letter untuk membeli gandum dan ianya membuahkan hasil. Beliau memperoleh keuntungan sebanyak 200 USD dan itulah keuntungan pertamanya. Minatnya dalam bidang ini mula terbit. Marcus merasakan bahawa beliau perlu melakukannya sendiri, tanpa mengikut cadangan dari market letter. Pada musim panas 1970, Marcus berjaya mengumpulkan sebanyak 30,000 USD hasil dari perdagangan. Ia satu jumlah yang sangat tinggi baginya kerana beliau berasal dari keluarga kelas menengah.

 

 

Kisah Michael Marcus
How To Make Money In Commodities, buku tulisan Chester Keltner (Sumber : Amazon)

 

Pada musim gugur tahun yang sama, Marcus mengikuti pengajian di Worcester, Massachusetts tetapi beliau mendapati bahawa dirinya tidak lagi berminat untuk memikirkan tentang tesis. Daripada pergi ke dewan kuliah, Marcus sering menyelinap ke pejabat Paine Webber di Worcester untuk berdagang. Beliau mendapati dirinya telah berubah, dari seorang sarjana yang berdedikasi semasa di Johns Hopkins University, beliau kini sering tidak hadir ke dewan kuliah. Pada bulan Disember 1970, Marcus digugurkan dari universiti dan beliau berpindah ke New York. Beliau tinggal di sana buat sementara waktu. Apabila ditanya apa yang dilakukannya, beliau memberitahu mereka bahawa beliau seorang spekulator.

 

Pada musim bunga 1971, Marcus meminjam sebanyak 20,000 USD dari ibunya untuk ditambahkan ke dalam akaun perdagangan beliau yang mempunyai baki sebanyak 30,000 USD. Beliau mahu pertaruhkan semuanya. Pada mulanya pasaran terus stabil. Kemudian Marcus melihat kejatuhan harga. Beliau merasakan beliau harus keluar dari pasaran tetapi beliau tidak melakukannya. Marcus seolah-olah lumpuh ketika itu, beliau mengharapkan pasaran akan kembali naik. Beliau tidak mempunyai pilihan, beliau tidak lagi mempunyai wang dan terpaksa keluar.

 

Menjadi Penganalisis Di Reynolds Securities

Marcus betul-betul kecewa, beliau memutuskan untuk bekerja. Memandangkan berlaku kemelesetan pada masa itu, Marcus merasakan beliau mungkin tidak mendapat pekerjaan yang bagus dan harus berusaha untuk mendapatkan jawatan yang lebih rendah. Beliau mendapati bahawa walaupun mempunyai kelayakan yang luar biasa, beliau tidak akan mendapat sebarang pekerjaan. Salah satu peluang pekerjaan terbaik yang dijumpainya ialah penganalisis penyelidikan komoditi di Reynolds Securities. Lebih mudah untuk mendapatkan jawatan itu kerana Reynolds Securities dapat melihat keinginan Marcus.

 

If you shoot for what you want, you stand a much better chance of getting it because you care much more. – Michael Marcus

 

Di Reynolds Securities, penganalisis tidak dibenarkan terlibat dalam perdagangan. Tetapi Marcus tidak peduli. Beliau meminjam lagi dari ibu, abang dan teman wanitanya. Marcus membuka akaun perdagangan di firma lain. Beliau membuat sistem kod rahsia dengan broker itu supaya pihak Reynolds Securities tidak tahu bahawa beliau melanggar peraturan firma. Sebagai contoh,

 

“Matahari sudah terbit.”
“Cuaca mendung.”

 

Ketika Marcus berjaya membuat keuntungan, beliau akan cuba menyembunyikan perasaan gembiranya dan ketika mengalami kerugian, beliau harus memastikan tidak ada sesiapa sedar perubahan di wajahnya. Sepanjang bekerja, Marcus berasa begitu terseksa kerana beliau inginkan kebebasan untuk berdagang. Pengalaman berdagang kali ini juga tidak begitu baik. Lebih banyak kerugian dari keuntungan yang diperolehi. Marcus mengulangi kitaran yang sama, meminjam wang dan secara konsisten mengalami kerugian. Pada dasarnya, beliau tidak memahami prinsip perdagangan. Semua yang dilakukannya adalah salah.

 

Pertemuan Dengan Ed Seykota

Kemudian pada Oktober 1971, ketika berada di pejabat, Marcus bertemu dengan salah seorang yang banyak membantu kejayaannya dalam perdagangan. Individu tersebut ialah Ed Seykota. Ed Seykota seorang yang genius dan merupakan antara traders hebat yang menjadi fenomena. Semasa Marcus bertemu Ed, Ed baru sahaja lulus dari MIT dan telah mengembangkan salah satu program komputer pertama untuk ujian dan sistem perdagangan teknikal. Marcus tidak tahu bagaimana Ed memiliki begitu banyak ilmu pengetahuan tentang perdagangan di usia yang sangat muda. Ed memberitahu Marcus,

 

“Aku fikir kau harus bekerja di sini. Kita mulakan kumpulan penyelidikan dan kau boleh berdagang akaun sendiri.”

 

Bunyinya menarik, satu-satunya masalah ialah pengarah penyelidikan syarikat itu menolak untuk mengupah Marcus. Alasan Marcus tidak diterima kerana beliau sudah tahu terlalu banyak. Marcus cuba meyakinkan bahawa beliau akan melakukan apa sahaja untuk diterima. Akhirnya Marcus berjaya. Ed Seykota ketika itu sudah menjadi trader yang sangat berjaya, Marcus bernasib baik kerana berpeluang untuk belajar dengan Ed. Ed pada dasarnya adalah trend follower trader, yang menggunakan prinsip perdagangan klasik. Ed memberi teladan yang sangat baik. Sebagai contoh, ketika beliau mengambil short position silver, semua orang berpandangan bahawa silver akan bullish kerana pasaran benar-benar sudah terlalu murah. Tetapi Ed tetap dengan short position. Ed berkata,

 

“Trend menurun, dan saya akan teruskan short sehingga trend berubah.”

 

Dari pengalaman itu, Marcus belajar erti kesabaran dari Ed. Walaupun telah bersama Ed, Marcus tetap mengalami kerugian kerana beliau tidak cukup sabar. Dalam masa yang sama, Marcus berkenalan dengan Amos Hostetter, seorang yang berpengetahuan dan agak berjaya di firma Shearson. Amos mengikuti tulisan Marcus dan menyukainya. Amos banyak mengukuhkan lagi apa yang diajar oleh Ed kepada Marcus. Marcus mempelajari prinsip yang sama dari dua orang yang berbeza.

 

Ed Seykota

 

Pada July 1972, Marcus benar-benar telah kehabisan wang dan beliau tidak lagi dapat meminjam dari orang lain. Tetapi Marcus masih yakin bahawa beliau dapat kembali ke landasan yang betul. Pada masa itu beliau cuma membuat sebanyak 12,500 USD setahun tetapi berjaya menyimpan sebanyak 700 USD. Oleh kerana 700 USD tidak cukup untuk membuka akaun perdagangan, Marcus membuat keputusan untuk membuka akaun bersama dengan rakannya yang juga memiliki 700 USD. Rakannya tidak tahu apa-apa tentang pasaran.

 

Kali ini, sekali lagi Marcus mempertaruhkan semuanya. Kebetulan ketika itu pasaran mengalami kejatuhan selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai kerajaan. Marcus hampir-hampir kehilangan semua yang dipertaruhkan. Pasaran kembali stabil dan Marcus mempunyai wang yang cukup untuk bertahan. Hampir dua minggu beliau cuba untuk bertahan. Beliau sangat kecewa sehingga tidak dapat menahan tangannya dari menggeletar. Itu adalah kali terakhir Marcus mempertaruhkan segala-galanya. Beliau berjaya bertahan dan pasaran kembali berubah trend.

 

Pada penghujung tahun itu, akaun perdagangannya meningkat ke nilai 24,000 USD. Pengalaman itu benar-benar memberi pengajaran buatnya. Tahun berikutnya, pasaran meningkat dua kali ganda dan Marcus dapat memanfaatkan leverage yang ditawarkan oleh broker. Pengajaran yang beliau pelajari dari Ed Seykota supaya bertahan dalam trend utama benar-benar terbayar. Pada tahun 1973, akaunnya meningkat dari 24,000 USD kepada 64,000 USD. Pada masa itu, semuanya berjalan lancar. Walaupun Marcus berjaya melakukan perdagangan dengan baik, beliau tetap tidak lari dari kesilapan.

 

Ketika soybean mengalami peningkatan, Marcus tidak bertahan dalam trend. Ed Seykota tidak pernah keluar dari pasaran kecuali trend berubah. Jadi Ed masuk ke dalam pasaran ketika Marcus keluar. Marcus menyaksikan kenaikan pasaran dengan penuh kesakitan. Selama dua belas hari berturut-turut harga soybean menaik.

 

Menjadi Floor Trader Di New York Cotton Exchange

Pada waktu itu, Marcus kadang-kadang perlu ke Cotton Exchange. Beliau melihat suasana di situ sangat mengujakan. Tetapi untuk berdagang di Cotton Exchange, Marcus perlu memiliki nilai bersih sebanyak 100,000 USD. Beliau tidak dapat memenuhi syarat itu. Maka, Marcus terus mengumpulkan wang dan selepas beberapa bulan beliau berjaya melepasi nilai bersih 100,000 USD.

 

Marcus memutuskan untuk menjadi floor trader di New York Cotton Exchange. Banyak perkara baru yang dipelajarinya di sana. Antaranya ialah kepentingan melihat intraday chart seperti daily high. Pada intraday chart, Marcus dapat mengambil position yang jauh lebih besar dan jika beliau salah, beliau akan segera keluar dengan cepat. Menurut Marcus, seseorang traders perlu mempunyai tiga perkara untuk berdagang dengan baik :

 

  1. Fundamental
  2. Teknikal
  3. Market tone.

 

Fundamental harus menunjukkan bahawa terdapat ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan, ini akan mewujudkan satu pergerakan besar dalam pasaran. Teknikal pula mesti menunjukkan bahawa pasaran bergerak ke arah apa yang disarankan oleh fundamental. Ketika berita keluar, pasaran perlu bertindak dengan cara yang mencerminkan nada psikologi yang betul. Sebagai contoh, bull market harus menolak berita buruk dan bull market perlu bertindak balas secara positif dengan berita baik.

 

Sekiranya anda dapat mengehadkan aktiviti perdagangan anda dengan peraturan di atas, anda mempunyai peluang untuk menghasilkan keuntungan dalam mana-mana pasaran dan dalam keadaan apa pun. Selain itu, kata Marcus, era trend following trading sudah berlalu. Pasaran telah berubah. Buktinya Richard Dennis yang telah berjaya selama bertahun-tahun mengalami kerugian lebih 50% pada tahun 1988. Sistem trend following sudah tidak lagi berfungsi. Salah satu sebab sistem tersebut tidak lagi sesuai digunakan adalah kerana campur tangan bank pusat dalam pergerakan mata wang.

 

Menjadi Trader di Commodities Corporation

Tidak lama kemudian Marcus mendapat panggilan dari Amos Hostetter. Amos berdagang untuk Commodities Corporation. Beliau mengajak Marcus untuk menyertai Commodities Corporation sebagai trader. Pada masa itu, Commodities Corporation hanya mahu mengambil ahli ekonomi yang hebat. Idea kemasukan Marcus di bawa dalam satu mesyuarat dan soalan pertama yang ditanya,

 

“Apa yang ditulisnya dan dalam journal apa tulisannya diterbitkan?”

 

“Dia hanya berdagang.”

 

Semua orang menganggap itu sangat melucukan. Mereka beranggapan bahawa untuk menjana wang anda perlu mempunyai Ph.D dalam ekonomi. Tetapi Amos meyakinkan mereka untuk memberi peluang kepada Marcus. Marcus adalah trader pertama mereka upah yang tidak memiliki Ph.D dalam bidang tersebut. Commodities Corporation memberi Marcus sebanyak 30,000 USD untuk permulaan. Selepas 10 tahun, Marcus berjaya menukarkan akaun itu kepada 80 juta USD.

 

 

Michael Marcus

Nasihat Michael Marcus Kepada Trader Baru

Dari seorang trader yang gagal hingga menjadi begitu berjaya, nasihat Marcus kepada trader baru ialah pertaruhkan kurang daripada 5% untuk satu idea trade. Dengan cara itu anda boleh menjadi salah lebih daripada 20 kali dan anda dapat bertahan lebih lama dalam pasaran. Sekiranya anda tidak pasti dengan position yang anda ambil dan tidak tahu apa yang harus dilakukan, keluar segera. Anda boleh masuk kembali pada bila-bila masa. Sekiranya ragu-ragu, keluarlah. Marcus melakukannya berkali-kali dan keesokan harinya semua menjadi lebih jelas. Kadang-kadang fikiran anda perlukan rehat yang cukup untuk membuat keputusan dengan lebih baik. Ketika anda berada dalam pasaran, anda tidak dapat berfikir dengan baik. Apabila anda keluar dari pasaran, maka fikiran anda akan kembali jelas.

 

Anda juga perlu mengikut cara sendiri. Marcus memiliki ramai kawan yang terdiri dari traders hebat. Beliau sentiasa mengingatkan dirinya bahawa jika beliau mengikut cara mereka, beliau akan kerugian kerana setiap trader memiliki kekuatan dan kelemahan yang berbeza. Sesetengah traders adalah good holders, mereka mungkin akan meneruskan winning position dengan lama dan menjana keuntungan lebih tinggi tetapi dalam masa yang sama mereka mungkin melakukan perkara yang sama dalam losing position.

 

Anda juga dinasihatkan supaya tidak berbicara dengan traders lain berkenaan idea trade kerana maklumat dan pendapat yang diberitahu oleh mereka boleh mempengaruhi anda. Selain itu, Marcus berpendapat bahawa sekiranya anda mampu berdagang satu pasaran, anda boleh melakukannya dalam pasaran lain kerana prinsip perdagangan adalah sama. Trading adalah emosi. Satu psikologi massa melibatkan ketamakan dan ketakutan. Akhir sekali, walaupun anda seorang trader yang agresif, anda perlu cerewet dalam pemilihan trade.

 

I think the leading cause of financial disablement is the belief that you can rely on the experts to help you. Investing requires an intense personal involvement. – Michael Marcus

 

Baca juga : Kisah The Stock Market Emperor

Ikuti kami di Telegram : Market Demon

 

 

1 thought on “Kisah Michael Marcus Mengubah $30,000 Menjadi $80 Juta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)

error: Content is protected !!