Masa Depan USD Sebagai Mata Wang Rizab Dunia

Dalam artikel kali ini kami akan kongsikan kupasan mengenai masa depan USD sebagai mata wang rizab dunia. Menurut International Monetary Fund (IMF), lebih 61% daripada semua simpanan bank asing pada masa ini adalah di dalam USD. Sebilangan besar simpanan adalah dalam bentuk tunai atau bon US seperti U.S. Treasuries. Namun, semuanya berubah, persoalan yang bermain dalam fikiran setiap orang adalah,

 

“Berapa lama USD dapat mengekalkan statusnya sebagai Currency King?”

 

Seperti yang disebut sebelum ini, semua bank asing menyimpan sebahagian besar aset mereka di dalam USD. Namun suasana geopolitik telah berubah, terutamanya sejak Trump mengambil alih pentadbiran Amerika Syarikat. Trump mula menyerang negara-negara lain dan yang paling utama adalah China. Bercakap mengenai China, negara ini kini merupakan negara ekonomi kedua terbesar di dunia selepas US. Sebelum COVID-19, ahli ekonomi meramalkan China akan mengambil alih kedudukan nombor 1 pada tahun 2024. Oleh itu, persoalannya ialah,

 

“Mengapa USD terus menjadi dominan sekiranya ekonomi China bakal menjadi ekonomi nombor satu di dunia?”

 

China dan kekuatan baru muncul seperti Rusia, secara senyap membuat perjanjian untuk menjauhkan diri dari USD dalam perdagangan antarabangsa selama beberapa tahun terakhir. Ini tentu saja menimbulkan masalah kepada USD, kerana mata wang itu tidak begitu kukuh seperti yang disangkakan oleh kebanyakan orang Amerika Syarikat. Jadi, mengapa USD akan kehilangan gelarannya sebagai mata wang Rizab?

 

 

Pertumbuhan Penggunaan Mata Wang China Di Afrika

Menurut anda, siapa rakan dagang Afrika yang terbesar? Jika anda menjawab Amerika Syarikat, jawapan anda salah. Pada tahun 2009, China menjadi rakan dagang terbesar di Afrika dan negara itu kini secara agresif berusaha untuk memperluas penggunaan mata wang China di benua itu. Laporan dari bank terbesar di Afrika, Standard Bank, baru-baru ini menyatakan :

 

“Kami menjangkakan sekurang-kurangnya $100 bilion dalam perdagangan China-Afrika akan diselesaikan dalam Renminbi (RMB) menjelang 2021.”

 

China nampaknya sangat bertekad untuk mengubah corak perdagangan antarabangsa. Pada ketika ini, kira-kira 70,000 syarikat China menggunakan mata wang Renminbi dalam transaksi rentas sempadan. Sebilangan negara di Afrika, di antaranya Bank of Ghana, menggunakan RMB sebagai sebahagian daripada penyelesaian dan mata wang rizab mereka. Awal tahun ini, bank pusat Nigeria dilaporkan mengumumkan bahawa mereka merancang untuk mengalihkan lebih banyak rizab asingnya dari USD kepada RMB kerana daya tarikan yang lebih besar dalam perdagangan global.

 

India Menggunakan Emas Untuk Membeli Minyak Dari Iran

Iran telah menjadi salah sebuah negara yang paling agresif untuk menjauhkan diri dari USD dalam perdagangan antarabangsa. Sebagai contoh, terdapat laporan bahawa India akan mula menggunakan emas untuk membeli minyak dari Iran.

 

Selain itu, China juga lebih senang berurusan dengan Iran dalam mata wang mereka sendiri, ini menjauhkan lagi hubungan antara Iran dan Amerika Syarikat setelah Amerika Syarikat keluar dari perjanjian nuklear pada tahun 2008 dan mengenakan sekatan ke atas Iran.

 

Masa Depan USD Sebagai Mata Wang Rizab Dunia
Kredit : Smaulgld

 

Arab Saudi Mungkin Tidak Menggunakan Petrodollar Dalam Urusan Dengan China

Negara mana yang mengimport minyak paling banyak dari Arab Saudi? Bukan Amerika Syarikat tetapi China. Arab Saudi dan China telah bekerjasama untuk membina kilang minyak baru yang lebih besar di Arab Saudi. Jadi persoalannya,

 

“Berapa lama Arab Saudi akan berpegang pada Petrodollar jika China menjadi pelanggan terpenting mereka?”

 

Petrodollar telah menjadi kunci utama dalam ekonomi Amerika Syarikat sejak pentadbiran Nixon, selepas Henry Kissinger memeterai perjanjian itu pada tahun 1970-an. Walau bagaimanapun, tarikh luput perjanjian ini mungkin akan semakin menghampiri.

 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Dan International Monetary Fund (IMF) Mahukan Mata Wang Rizab Dunia Yang Baru

PBB telah mengeluarkan laporan yang secara terbuka meminta alternatif kepada USD sebagai mata wang rizab dunia. Satu laporan PBB secara khusus membayangkan sistem rizab global baru yang tidak lagi bergantung kepada USD sebagai mata wang rizab utama.

 

IMF pula mengambil langkah lebih maju. Satu laporan IMF yang berjudul “Reserve Accumulation & International Monetary Stability” sebenarnya mencadangkan mata wang global masa depan yang dinamakan “Bancor” dan menyatakan bahawa bank pusat global masa hadapan dapat diberi peranan untuk menerbitkannya.

 

Negara-Negara BRICS Merancang Menggunakan Mata Wang Sendiri Untuk Berdagang Antara Satu Sama Lain

Negara-negara BRICS terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan. Terdapat laporan mengatakan bahawa negara-negara ini telah membuat perjanjian untuk mempromosikan penggunaan mata wang negara mereka sendiri ketika berdagang antara satu sama lain dan bukannya USD. Berikut adalah petikan dari sumber berita di India :

 

“Lima ekonomi negara berkembang BRICS akan menyuntik momentum ekonomi yang lebih besar ke dalam kumpulan mereka dengan menandatangani dua perjanjian untuk mempromiskan perdagangan intra-BRICS. Kedua-dua perjanjian itu akan membolehkan kemudahan kredit dalam mata wang tempatan untuk perniagaan negara-negara BRICS. Ini diharapkan dapat meningkatkan perdagangan intra-BRICS yang telah berkembang pada kadar 28% dalam beberapa tahun terakhir…”

 

Masa Depan USD Sebagai Mata Wang Rizab Dunia
Pemimpin negara-negara BRICS (kredit : The Economist)

 

Apa Maknanya Bagi Ekonomi Amerika Syarikat?

Kejatuhan USD akan membawa perubahan radikal kepada cara hidup Amerika Syarikat. Apabila tsunami ekonomi melanda negara itu, ia akan membawa kemelesetan. Ini akan membawa kesan yang sangat tidak diingini seperti :

 

1. Inflasi besar-besaran
2. Kadar faedah tinggi untuk gadai janji dan kenderaan
3. Kenaikan kos makanan, pakaian dan petrol yang ketara
4. Kesukaran untuk membiayai hutang

 

Buat masa sekarang, terdapat permintaan besar untuk USD dan hutang kerajaan Amerika Syarikat kerana negara-negara di seluruh dunia perlu menyimpan rizab mata wang negara itu untuk kepentingan perdagangan antarabangsa. Namun, bagaimana jika selera terhadap USD menurun secara mendadak? Atau adakah pengalaman masa lalu memberitahu kita bahawa Amerika Syarikat telah mempertimbangkan semua perkara di atas dan mempunyai rancangan lain?

 

Itu sesuatu yang perlu difikirkan.

 

Baca juga : Kisah Michael Marcus Mengubah $30 Ribu Menjadi $80 Juta

Ikuti kami di Telegram : Market Demon

Hubungi : Ezad Amir

Rujukan : One Royal

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)

error: Content is protected !!