Mitos Mengenai George Soros

George Soros mungkin merupakan orang yang dianggap jahat dan paling terkenal di dunia. Beliau adalah salah seorang pengurus hedge fund yang hebat dan boleh dikatakan antara spekulator mata wang paling berjaya dalam sejarah. Beliau adalah pembiaya utama politik dan beliau juga telah menyumbang berbilion-bilion wang untuk badan amal yang ditubuhkannya iaitu Open Society Foundations. Tetapi sebahagian besar sumbangan dan pengaruhnya itu ditenggalami oleh teori konspirasi.

 

George Soros Membantu Nazi

Ini adalah teori konspirasi terburuk mengenai George Soros. Dalam segmen “60 Minutes” pada tahun 1998, host rancangan itu, Steve Kroft, mengatakan bahawa kelangsungan hidup Soros semasa Holocaust membawa “kos yang tinggi” dan ketika ratusan ribu orang Yahudi di hantar ke kem kematian Nazi, George Soros yang baru berusia 13 tahun menemani bapa angkatnya, merampas harta benda orang Yahudi.

 

Kredit : FactCheck

 

Sebelum ini, terdapat pengguna media sosial menyebarkan foto seorang pemuda berpakaian seragam Nazi dan mendakwa itu adalah gambar Soros. Pada hakikatnya, bapa Soros menukar nama keluarga mereka dari Schwartz kepada Soros untuk mengelak dari menjadi mangsa kepada gerakan anti-Semit dan menyamar sebagai Kristian.

 

Soros Membiayai Protes

Soros dituduh membiayai penunjuk perasaan pada tahun 2017 di Romania. Pada tahun 2018, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mendakwa bahawa Soros menyokong aktivis Osman Kavala, yang bertanggungjawab dalam tunjuk perasaan Gezi Park 2013. Kata Erdogan,

 

“Dia (Soros) mempunyai banyak wang dan membelanjakannya melalui cara ini.”

 

Selain Erdogan, Presiden Donald Trump turut menuduh Soros bertanggungjawab dalam membiayai demonstrasi antifa atau anti-fasis. Open Society sememangnya menyokong organisasi antikorupsi di seluruh Eropah Tengah dan Timur. Baru-baru ini Open Society mengumumkan pelaburan sebanyak $220 juta dalam gerakan yang memperjuangkan keadilan kaum. Sudah tentu ada orang di seluruh dunia yang tampil dalam tunjuk perasaan dan bekerja untuk organisasi tertentu yang menerima geran dari Open Society tetapi mereka ini tidak dibayar untuk memprotes.

 

Soros Sebenarnya Bukan Yahudi

Pada tahun 2019, Rudolph W. Giuliani, yang bukan berbangsa Yahudi mengatakan,

 

“Saya lebih Yahudi berbanding Soros… Dia tidak menyokong Israel, dia musuh Israel.”

 

Orang Hungari, negara asal kelahiran Soros, juga tidak menganggap beliau sebagai Yahudi. Namun dermawan ini dilihat sebagai seorang globalis kerana sikap dan hubungannya dengan Israel. Dalam buku yang ditulis oleh Soros pada tahun 1991, beliau menyebut,

 

“Keyahudian saya tidak menjadikan saya seorang yang setia kepada kaum yang mendorong saya untuk menyokong Israel. Sebaliknya, saya bangga menjadi minoriti, orang luar yang mampu melihat sudut pandang yang berbeza.”

 

Oleh itu, sokongan kewangannya tidak tertumpu kepada orang-orang Yahudi atau Israel, pada hakikatnya ia lebih banyak disumbangkan kepada kumpulan-kumpulan seperti Human Rights Watch, yang mengkritik hak asasi manusia dan layanan buruk Israel terhadap rakyat Palestin.

 

Mitos Mengenai George Soros
George Soros berjabat tangan dengan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir dalam pertemuan pada tahun 2006.

 

Soros Secara Sendirian “Memufliskan” Bank of England

Peranan sebenar yang dimainkan oleh Soros dalam peristiwa “breaking the Bank of England” telah menjadi bahan perdebatan selama hampir 30 tahun. Walaupun begitu, idea bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden terkenal pada tahun 1992, di mana Soros mengambil “short position” terhadap Pound Britain (GBP), sehingga mengakibatkan Britain meninggalkan European Exchange Rate Mechanism (ERM) dan GBP mengalami kejatuhan, telah berulang kali menjadi bahan bualan.

 

Soros dan pasukannya tahu bahawa GBP boleh naik begitu tinggi dan mereka akan kerugian dengan banyak jika mengambil short position. Tetapi sekiranya mereka betul dalam spekulasi itu, tidak ada siapa yang tahu seberapa jauh GBP akan jatuh. Mereka betul dan pada waktu itu, GBP mengalami kejatuhan yang dahsyat. Soros bukan satu-satunya spekulator yang bertaruh menentang GBP, tetapi beliau mengukir nama kerana hedge fund miliknya berjaya meraih keuntungan sebanyak $1 bilion dalam insiden itu.

 

Tidak ada bank yang muflis, ada yang mengatakan “Black Wednesday” memberi jalan kepada “White Wednesday,” kerana selepas peristiwa buruk itu ekonomi Britain menjadi bertambah baik. Walau bagaimanapun, Soros dan pasukannya antara yang bertanggungjawab dalam memainkan peranan besar memaksa Britain keluar dari ERM.

 

George Soros
The Orange Revolution (kredit : Bloomberg)

 

Soros Merancang Revolusi Di Amerika Syarikat

Revolusi Warna adalah serangkaian protes yang menyebabkan berlaku perubahan kerajaan di Eropah Timur pada awal tahun 2000-an. Soros telah dituduh oleh ahli teori konspirasi sebagai pendokong revolusi itu dan sedang merancang untuk melakukannya di Amerika Syarikat. Pada awal tahun ini, Washinton Times menerbitkan sebuah artikel di bawah judul, “George Soros, 89, Masih Dalam Usaha Untuk Menghancurkan Amerika Syarikat.”

 

George Soros hanyalah seorang dermawan politik yang mula memasuki lapangan itu pada tahun 2004, apabila beliau menyumbang sebanyak $27 juta kepada kumpulan-kumpulan yang berusaha mahu menggulingkan Presiden George W. Bush. Terdapat perbezaan antara sumbangan politik dan merancang revolusi.

 

Tulisan asal : The Washington Post

Baca juga : Memahami Ekonomi Amerika Syarikat | Analisis Fundamental

Ikuti kami di Twitter: Market Demon

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)

error: Content is protected !!