Home » Apa Itu Peristiwa Dust Bowl?

Apa Itu Peristiwa Dust Bowl?

Dust Bowl

Traktor tertimbus pasir akibat fenomena Dust Bowl (Kredit: NDMC)

 

Pada tahun 1930, wilayah selatan Amerika Syarikat teruk dilanda ribut pasir semasa musim kemarau sehingga dipanggil Dust Bowl. Banyak penduduk dan haiwan yang terbunuh akibat daripada angin ribut kencang serta debu yang tebal. Hasil tanaman juga mati dan rosak di seluruh wilayah tersebut. Fenomena ini juga memburukkan lagi ekonomi Amerika Syarikat yang dilanda The Great Depression pada ketika itu. Hal ini mendorong keluarga petani berpindah untuk mencari peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik.

 

Punca Terjadinya Dust Bowl

Dust Bowl terjadi disebabkan beberapa faktor seperti ekonomi, agrikultur, perubahan dasar tanah persekutuan dan perubahan iklim setempat. Selepas perang saudara di Amerika Syarikat, Dasar tanah persekutuan menggalakkan para petani berpindah ke barat dan memberi mereka insentif jika mereka melakukan aktiviti pertanian di kawasan Great Plains. Kebanyakan peneroka pada lewat tahun 90-an percaya akan mitos “rain follow the plow” yang bermaksud di mana ada aktiviti pertanian, di situlah akan ada hujan. Sesetengah saintis juga berpendapat bahawa faktor penempatan dan agrikultur boleh merubah iklim Great Plains yang separa gersang itu. Ini membuatkan kawasan tersebut sesuai untuk aktiviti pertanian.

 

Kenaikan harga gandum pada tahun 1910 hingga 1920 serta permintaan tinggi dari eropah ekoran perang dunia pertama mendorong petani membajak berjuta-juta ekar tanah di kawasan padang berumput untuk menanam pelbagai jenis tanaman. Akan tetapi, selepas Amerika Syarikat memasuki fasa The Great Depression, harga gandum mengalami penurunan yang drastik. Hal ini menyebabkan para petani membajak lebih banyak padang rumput dalam usaha untuk menuai hasil yang lebih supaya mendapat pulangan modal. Hasil tanaman mula gagal semasa bermulanya kemarau pada tahun 1931 dan telah mengakibatkan tanah yang dibajak secara berlebihan terbiar. Tanpa akar rumput yang berfungsi untuk menahan tanah supaya kekal berada di tempatnya membuatkan tanah mula berterbangan.

 

 

Dust Bowl

Peta wilayah Great Plains, Amerika Syarikat

 

Bila Terjadinya Dust Bowl?

Dust Bowl terjadi pada tahun 1930 dan berakhir setelah sedekad kemudian. Kemarau teruk telah melanda kawasan barat dan selatan Great Plains pada tahun 1930 menyebabkan terhasil ribut pasir yang dasyat pada tahun 1931. Pada tahun 1934 dianggarkan sebanyak 35 juta ekar tanah pertanian sudah tidak boleh digunakan dan sebanyak 125 juta ekar tanah yang hampir sebesar Texas telah kehilangan bunga tanahnya. Hujan mula kembali membasahi wilayah tersebut pada penghujung tahun 1939 menandakan Dust Bowl telah berakhir. Akan tetapi, kesannya terhadap ekonomi masih berlanjutan untuk beberapa tahun. Jumlah penduduk telah mula berkurangan di kawasan yang terjejas sehingga tahun 1950.

 

 

‘Black Blizzard’ Menyerang Amerika

Semasa tempoh Dust Bowl, ribut pasir atau lebih dikenali sebagai “Black Blizzard” telah melanda kawasan The Great Plains. Ribut pasir yang membawa bunga tanah Great Plains ini juga telah merebak di kawasan timur seperti Washington D.C, New York dan telah menyebabkan dinding dinding kapal di kawasan lautan atlantik diselaputi oleh debu. Awan debu yang mengepul juga menggelapkan langit selama berhari hari di beberapa kawasan. Di kebanyakan tempat juga dapat dilihat habuk berterbangan seperti salji dan para penduduk terpaksa membersihkannya dengan penyodok. Debu juga menembusi celah celah rumah walaupun sudah tertutup rapat dan telah meninggalkan kesan kepada isi rumah.

 

Sesetengah orang juga mengalami radang paru paru dan masalah kesukaran bernafas akibat debu pasir ini. Penduduk yang meninggal dunia akibat peristiwa ini dianggarkan mencecah ribuan orang. Pada 11 Mei 1934, ribut pasir besar yang setinggi dua batu telah mengembara ke pantai timur dan mengakibatkan monumen seperti Patung Liberty dan US Capitol diselaputi debu pasir. Ribut pasir paling teruk direkodkan terjadi pada 14 April 1935. Laporan berita menyebutnya sebagai Black Sunday. Dinding pasir dan debu yang mula bertiup di Oklohama dan telah merebak ke timur. Dianggarkan sebanyak 3 juta tan tanah yang dibawa terbang semasa Black Sunday.

 

Dust Bowl

Black Blizzard melanda Kansas pada tahun 1935 semasa Dust Bowl (Kredit: Boston Globe)

 

Program Pemulihan

Presiden Amerika Syarikat, Franklin D. Roosevelt pada ketika itu menetapkan beberapa langkah bagi membantu meringankan beban petani yang terjejas. Beliau juga mengambil inisiatif untuk menangani masalah kemerosotan alam sekitar yang telah membawa kepada peristiwa Dust Bowl. Pada tahun 1935, kongres telah menubuhkan Perkhidmatan Hakisan Tanah dan Projek Perhutanan untuk wilayah berumput yang terjejas. Program ini meletakkan petani untuk menanam semula pokok pokok sebagai benteng semulajadi untuk menahan angin di kawasan ladang Great Plains. Perkhidmatan Hakisan Tanah yang kini dipanggil Perkhidmatan Pemuliharaan Sumber Asli (NRCS) telah memperkenalkan teknik pertanian yang baharu bagi menangani masalah hakisan tanah daripada berulang.

 

Migrasi Okie

Pada tahun 1930, kira kira 2.5 juta orang telah meninggalkan kawasan yang dilanda Dust Bowl iaitu Texas, New Mexico, Colorado, Nebraska, Kansas dan Oklahoma. Ini adalah salah satu migrasi terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat. Oklohoma sahaja pada ketika itu telah hilang 440 ribu penduduknya akibat migrasi. Kebanyakan dari mereka adalah rakyat miskin yang berpindah ke barat untuk mencari pekerjaan. Dari tahun 1935 hingga 1940, dianggarkan 250 ribu penduduk Oklahoma telah berpindah ke California. Satu pertiga dari mereka ini menetap di Lembah San Joaquin yang kaya dengan hasil pertanian.

 

Pelarian Dust Bowl ini juga digelar dengan gelaran “Okie“. Mereka didiskrimasi dengan hanya diberikan pekerjaan buruh kasar dan gaji yang sangat rendah ketika di California. Ramai di antara mereka yang mendirikan khemah disekitar kawasan parit untuk dijadikan tempat tinggal. Lama kelamaan, gelaran “Okie” menjadi istilah penghinaan yang digunakan untuk merujuk mana mana pendatang Dust Bowl miskin tanpa mengira asal usul mereka.

 

Dust Bowl

Gambar Florence Owens Thompson bersama anaknya di Nipomo, California, 1936 (Kredit: History)

 

Dust Bowl Dalam Seni Dan Budaya

Fenomona Dust Bowl menarik perhatian para penggiat seni pada ketika itu. John Steinback memperingati nasib yang menimpa Okie dan mendedikasikan dalam novelnya pada tahun 1939 yang bertajuk The Grapes of Wrath. Jurugambar Dorothea Lange mendokumentasikan kemiskinan luar bandar dalam satu siri gambar untuk Pentadbiran Sekuriti Ladang FDR. Pelukis Alexander Hogue melukis landskap Dust Bowl. Penyanyi lagu rakyat, Woody Guthrie mengeluarkan album pertama yang berkonsepkan separa autobiografi bertajuk Dust Bowl Ballads pada tahun 1940. Album ini menceritakan kisah masalah ekonomi yang dihadapi Okie di California. Guthrie juga merupakan penduduk asal Oklahoma yang pindah ke wilayah lain untuk mencari pekerjaan semasa peristiwa Dust Bowl.

 

Dust Bowl

Hasil lukisan Alexandre Hogue yang bertajuk Dust Bowl

 

Dapatkan 30 USD Trade Bonus

Baca Juga: Peristiwa Black Monday 1987, Apa Itu Kemelesetan Ekonomi

Ikuti Kami Di Twitter: Market Demon

Ikuti Kami Di Telegram: Market Demon

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.