Home » Kadar Dasar Semalaman (OPR)

Kadar Dasar Semalaman (OPR)

Pada 11 Mei 2022, Bank Negara Malaysia (BNM) telah meningkatkan Kadar Dasar Semalaman daripada 1.75% kepada 2.00%. Kadar Dasar Semalaman atau lebih dikenali sebagai Overnight Policy Rate (OPR) merupakan antara dasar kewangan yang penting bagi Malaysia. Perubahan OPR akan memberi kesan terhadap:

 

  1. Kadar Faedah Akaun Simpanan dan Semasa
  2. Kadar Faedah Akaun Jangka Tetap
  3. Kadar Bunga Pinjaman
  4. Kadar Tukaran Mata Wang Asing
  5. Kadar Faedah Jangka Pendek
  6. Kadar Faedah Jangka Panjang

 

Setiap perubahan OPR akan memberi kita gambaran secara umum terhadap tahap kesihatan ekonomi kita. Tetapi, tahukah anda bagaimana kadar OPR ini ditentukan? Bagaimana perubahan OPR ini akan memberi kesan terhadap kehidupan harian kita?

 

Pengenalan Kepada OPR

Secara amnya, OPR adalah kadar bunga bagi setiap institusi kewangan yang saling memberikan pinjaman antara mereka selama semalaman. Kadar ini ditentukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia. Jawatankuasa ini akan bersidang enam kali setahun bagi menentukan kadar ini.  Kadar OPR tertinggi ialah 3.5% pada 26 April 2006 dan terendah pada 07 Januari 2021 iaitu 1.75%.

 

Setiap institusi kewangan mempunyai rizab tunai tertentu yang telah ditentukan oleh Bank Negara Malaysia. Bergantung kepada aktiviti mereka pada hari tersebut, institusi kewangan akan meminjam atau memberi pinjaman supaya rizab tunai yang ditentukan dapat dicapai. Antara aktiviti yang dilakukan adalah:

 

  1. Deposit wang dari pelanggan
  2. Pengeluaran wang oleh pelanggan
  3. Pemberian pinjaman kepada pelanggan

 

Sebagai contoh, jika pada hari tersebut, ramai pelanggan yang telah mengeluarkan duit di dalam akaun mereka, institusi kewangan tersebut terpaksa meminjam wang bagi mengekalkan rizab tunai mereka. Oleh itu, institusi kewangan yang mempunyai rizab tunai yang berlebihan akan memberi pinjaman tunai kepada mereka. Setiap pinjaman yang dibuat akan dikenakan kadar bunga. Proses ini juga antara salah satu cara yang ditetapkan oleh BNM untuk memastikan sistem kewangan negara kita kekal stabil.

 

Peranan OPR Terhadap Ekonomi

Arah tuju kadar OPR (menurun atau meningkat) ditentukan oleh keadaan ekonomi negara kita. Matlamat utama penentuan kadar OPR ini adalah untuk memastikan ekonomi negara kita kekal di tahap yang optimum.

 

Misalnya, apabila ekonomi berkembang dengan kadar yang perlahan, MPC akan mengurangkan kadar OPR. Dengan kadar yang rendah, pengguna dapat mengakses wang dengan lebih mudah kerana kos meminjam telah menjadi lebih rendah. Justeru itu, mereka dapat meningkatkan perbelanjaan dan pelaburan mereka. Ini akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara kita seterusnya ekonomi dapat berkembang dengan kadar yang optimum.

 

Situasi sebaliknya akan berlaku apabila ekonomi berkembang dengan kadar yang pantas. Pada situasi ini, inflasi dalam keadaan tidak terkawal. Bagi mengurangkan perbelanjaan dan pelaburan pengguna, kadar OPR akan ditingkatkan. Ini akan menyebabkan pengguna terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi bagi memperoleh wang. Kesannya, BNM berjaya mengawal kembali inflasi negara kita.

 

Bagaimana Peningkatan OPR Memberi Kesan Kepada Rakyat Malaysia

Peningkatan OPR akan memberi kesan yang berbeza di antara pengguna yang ingin membuat pelaburan dan pinjaman. Bagi pengguna yang ingin membuat pinjaman, apabila BNM meningkatkan kadar OPR, kadar bunga pinjaman mereka turut meningkat. Mereka akan menghadapi dua situasi sama ada:

 

  1. Peningkatan ansuran bulanan
  2. Ansuran bulanan kekal tetapi tempoh pinjaman akan meningkat

 

Pada masa yang sama, pengguna yang ingin membuat pelaburan dapat meningkatkan lagi keuntungan pelaburan mereka. Ini disebabkan oleh peningkatan OPR akan membawa kepada:

 

  1. Peningkatan kadar dividen akaun simpanan dan semasa
  2. Peningkatan kadar dividen akaun simpanan tetap
  3. Peningkatan kadar faedah bon

 

Kesimpulannya, setiap rakyat Malaysia akan terkesan baik positif mahupun negatif disebabkan oleh kenaikan OPR ini. Anda digalakkan untuk menyemak kembali perancangan kewangan anda bagi memastikan kehidupan akan datang berjalan dengan lancar.

 

Baca Juga : Sejarah Penubuhan Bank Pusat Amerika Syarikat (Bahagian 1)

Ikuti Kami di Twitter : Market Demon

Ikuti Kami di Telegram : Market Demon

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.