Home » Kisah Jack Dorsey Pengasas Twitter

Kisah Jack Dorsey Pengasas Twitter

Jack Dorsey, berjalan di atas pentas di persidangan Bitcoin 2021 di Miami, beliau secara teknikalnya masih ketua pegawai eksekutif dua syarikat dagangan awam tetapi beliau kelihatan lebih seperti pelayan bar tepi pantai. Dorsey memakai baju tie-dye sunburst, dengan kepalanya dicukur dan janggutnya yang panjang beruban tidak dipotong. Beliau terbang ke South Florida walaupun dasar rasmi di salah sebuah syarikatnya, Twitter, tidak membenarkan pekerja melakukan perjalanan dan sekumpulan pelabur aktivis selama berbulan-bulan cuba menggulingkannya kerana tidak fokus.

 

jack dorsey pengasas twitter

 

King of Censorship

Tidak menghiraukan semua itu, Dorsey telah memutuskan untuk melakukan apa sahaja yang beliau mahu. Beliau pergi ke pantai bersama model tweentysomething, Flora Carter, makan malam bersama Dave Portnoy, usahawan media sukan profesional dan peminat perdagangan saham, serta bergaul dengan Floyd Mayweather, peninju profesional yang berada di situ bagi mewakili pihak EthereumMax. Di atas pentas, Dorsey dicemuh oleh Laura Loomer, ahli teori konspirasi sayap kanan yang terkenal. Sebelum itu, Loomer pernah menggari dirinya sendiri di pintu pejabat Twitter selepas akaunnya disekat pada tahun 2018.

 

Dorsey telah melabelkan protes itu sebagai berani dan kini apabila Loomer mencemuh bahawa Dorsey adalah “King of Censorship,” beliau menjawab dengan bersungguh-sungguh. Katanya, beliau berharap untuk menghapuskan “korporat” dari Twitter, menjadikannya lebih terbuka dan terdesentralisasi seperti Bitcoin. Dorsey mempunyai banyak perkara untuk diperkatakan tentang Bitcoin, sebenarnya, lebih banyak daripada yang beliau perlu katakan tentang sama ada Twitter atau Square. Beliau meramalkan Bitcoin akan menggantikan bank, membawa peluang ekonomi kepada usahawan di dunia membangun, dan memberi insentif kepada pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui. Katanya,

 

“Bitcoin benar-benar mengubah segala-galanya. Saya tidak fikir ada perkara yang lebih penting dalam hidup saya untuk diusahakan.”

 

 

Lima bulan kemudian, Dorsey meletak jawatan daripada Twitter Inc. dan mengumumkan bahawa beliau telah menamakan semula Square. Selepas itu, syarikat itu, yang membantu kedai kopi tempatan dan perniagaan kecil memproses pembayaran, akan dipanggil Block Inc. Secara rasmi, Block ialah kerja sepenuh masa Dorsey, tetapi hampir semua orang di orbitnya tahu beliau mempunyai masalah sampingan yang agak serius. Ketika beliau menguruskan kedua-dua Twitter dan Square, pekerjanya sering bergurau bahawa Twitter adalah “anak emasnya.”

 

Minat Terhadap Bitcoin

Dalam tempoh dua tahun yang lalu, Dorsey telah mempromosikan Bitcoin secara berterusan melalui suapan Twitternya. Tahun lepas, pada acara crypto bersama Elon Musk, Dorsey berkata beliau percaya Bitcoin boleh membawa kedamaian dunia. Musk merupakan orang terkaya di dunia pada ketika ini, menjadi pemegang saham terbesar Twitter pada bulan Mac, dan telah mengukuhkan pakatan bersama Dorsey selama beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Semasa makan malam bersama Portnoy, Dorsey memberitahu bahawa beliau mahu memberi tumpuan secara eksklusif pada mata wang digital. Beliau begitu yakin dengan Bitcoin. Keghairahan Dorsey mempunyai kesan kepada Block, yang telah berkembang sebahagiannya berkat ciri-ciri yang memudahkan orang ramai membeli Bitcoin daripada telefon mereka. Sebagai seorang pengurus, Dorsey mungkin seorang yang lemah tetapi sebagai futurologi, jarang beliau salah.

 

Cara terbaik untuk memahami apa yang Dorsey fikirkan adalah mengikuti tweetnya. Twitter adalah tempat beliau berkongsi segala-galanya, termasuk muzik yang beliau dengar dan isu sosial yang beliau ambil berat. Minat Dorsey terhadap Bitcoin meningkat selepas perjalanan sebulan ke Afrika pada November 2019, selepas itu beliau mula menulis tweet tentang mata wang itu tanpa henti. Perjalanan itu termasuk persinggahan di Ethiopia, Ghana, Nigeria dan Afrika Selatan.

 

Beliau bertemu dengan usahawan tempatan yang kebanyakannya sedang membina syarikat yang memberi tumpuan kepada Bitcoin. Dari pertemuan itu, beliau dengan yakin percaya Bitcoin boleh mengubah sistem kewangan di benua itu. Selepas pulang ke rumah, Dorsey menulis tweet mengatakan kesedihannya meninggalkan benua itu dan Afrika akan menentukan masa depan terutamanya Bitcoin serta berjanji beliau akan tinggal di situ selama 3-6 bulan pada pertengahan 2020.

 

Serangan Elliott Management Ke Atas Jack Dorsey

Tulisan Dorsey mengejutkan pekerjanya. Dorsey telah pun mempromosikan idea bekerja secara jarak jauh tetapi dalam berjanji untuk menghabiskan separuh tahun melakukan perjalanan di seluruh dunia, beliau secara tidak sengaja telah menyerahkan “hadiah” kepada musuh perniagaan, Paul Singer. Pengasas Elliott Management, Singer terkenal kerana mengambil kepentingan dalam syarikat awam dan kemudian mendesak perubahan pengurusan yang menyeluruh.

 

Syarikat itu telah melihat Twitter sebagai sasaran selama bertahun-tahun, sebahagiannya kerana perniagaannya kurang memberangsangkan, dan sebahagiannya kerana Twitter tidak seperti Google dan Facebook, tidak memberikan pengasasnya apa yang dipanggil “saham supervoting” yang akan membenarkan mereka mengawal syarikat itu. Ini mewujudkan peluang kepada pelabur aktivis untuk bertapak dan tiada apa yang boleh dilakukan Dorsey untuk menghalang mereka. Sepanjang ketiadaan Dorsey, Elliott membuat pelaburan yang besar dalam saham Twitter.

 

Tiga bulan kemudian, pada Februari 2020, kepentingan syarikat pelaburan itu diketahui umum. Dalam surat yang dihantar kepada lembaga pengarah Twitter, Elliott menggariskan satu siri isu dengan perniagaan Twitter dan tadbir urus korporat, memaklumkan syarikat itu bahawa beliau merancang untuk mencalonkan empat pengarah baru. Aduan paling ketara adalah berkenaan CEO Twitter iaitu Jack Dorsey yang telah membahagikan masanya dengan syarikat lain (Square). Tweet Dorsey banyak memberi pelabur aktivis peluang untuk menyerangnya. Dorsey dituduh kelihatan tidak berminat untuk menguruskan Twitter.

 

Lembaga pengarah dan pasukan eksekutif Twitter bergegas mencari pelabur yang akan menyokong Dorsey sekiranya berlaku undian dalam kalangan pemegang saham. Kurang daripada sebulan, syarikat itu menambah tiga ahli lembaga baru termasuk rakan kongsi pengurusan Elliott Jesse Cohn, dan membuat perubahan pada tadbir urus korporatnya. Dorsey tidak dipecat tetapi jawatannya tidak selamat. Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, beliau bersetuju untuk menerima pakai matlamat yang agresif untuk mengembangkan pangkalan pengguna syarikat dan meningkatkan hasil.

 

Sikap Jack Dorsey

Jack Dorsey banyak bekerja dari jarak jauh, kebanyakannya di Hawaii, Costa Rica, dan French Polynesia, merahsiakan lokasi fizikalnya daripada pekerja. Orang yang rapat dengan Dorsey mengatakan ini adalah atas sebab keselamatan, walaupun itu tidak menghalang pekerja daripada cuba meneka di mana Dorsey berada dengan mencari petunjuk di latar belakang panggilan videonya. Kebanyakan CEO akan berusaha untuk mempertahankan kedudukan mereka. Dorsey nampaknya tidak prihatin.

 

Mereka yang pernah bekerja di bawahnya berkata beliau tidak suka membuat keputusan dan menganggapnya sebagai kegagalan kepimpinan. Bukan perkara biasa bagi Dorsey untuk menghadiri mesyuarat tanpa berkata apa-apa, dan beliau lebih suka meninggalkan pekerja dengan soalan atau abstraksi dan bukan arahan yang jelas. Dorsey baru-baru ini menulis bahawa mempunyai syarikat yang mengawal kandungan dalam talian dan identiti pengguna adalah satu kesilapan. Melalui tweet, Dorsey berkata,

 

“Saya sedar saya antara yang harus dipersalahkan dan menyesalinya.”

 

Ini merupakan pandangan yang dikongsi bersama Musk, yang kononnya sangat terganggu dengan peraturan Twitter. Keengganan Dorsey terhadap kawalan korporat juga sebahagiannya menjelaskan cintanya terhadap Bitcoin yang bersifat tidak dikawal dan desentralisasi. Orang yang bekerja untuk Dorsey sering merasa mereka diberi kuasa untuk membuat keputusan tetapi sikap tidak tegasnya juga boleh menjadi punca kekecewaan. Menurut salah seorang yang bekerja di Block,

 

“Jika anda sukakan arahan, anda akan bergelut bekerja di bawah Jack.”

 

Keengganan Dorsey untuk membuat keputusan adalah antara sebab mengapa Twitter menghabiskan masa bertahun-tahun untuk meningkatkan panjang tweet maksimum kepada 280 aksara. Dorsey juga telah menyebabkan Square terlepas peluang, termasuk peluang untuk membeli Plaid Inc., sebuah syarikat perisian yang membenarkan orang ramai mengakses akaun bank mereka dan memindahkan wang ke dalam aplikasi lain.

 

Square telah berbincang untuk mendapatkan Plaid dengan harga kurang daripada $1 bilion pada 2018, dan majoriti pasukan pengurusan kanan Dorsey menyukai perjanjian itu. Tetapi Dorsey enggan membuat keputusan muktamad. Sebaliknya beliau berkata pasukan itu harus mencapai kata sepakat. Akhirnya perjanjian itu gagal dan Plaid kini bernilai lebih daripada $13 bilion. Dari segi futurologi, Dorsey sangat cemerlang kerana mampu memahami dan meramalkan masa depan. Beliau boleh tertumpu pada trend tertentu atau produk tertentu bertahun-tahun sebelum orang lain sedar. Salah seorang pekerjanya menggambarkan Dorsey seperti berikut,

 

“Beliau bukan pengurus produk. Beliau seorang pencipta produk.”

 

Dorsey menghasilkan idea untuk Twitter dan Square, beliau juga mencipta Cash App, aplikasi seperti Paypal. Selain itu, Dorsey ialah salah seorang pelabur terawal dalam Instagram dan beliau turut secara agresif mendorong Twitter untuk mendapatkan aplikasi video pendek Vine pada tahun 2012 walaupun Vine akhirnya gagal. Vine sama seperti TikTok, yang sekarang berkembang menjadi salah satu aplikasi paling popular di dunia.

 

Selepas serangan awal Elliott ke atas Jack Dorsey pada awal 2020, Twitter mempunyai tahun yang cukup baik. Pilihan raya Amerika Syarikat dan pandemik covid-19 menimbulkan minat yang sangat besar untuk berita, yang bermakna pangkalan pengguna syarikat itu berkembang lebih cepat berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sehari sebelum pilihan raya Amerika Syarikat pada November 2020, Twitter mengeluarkan pemfailan yang mengatakan lembaga pengarah telah menyemak struktur pengurusan syarikat dan menyatakan keyakinan terhadap pihak pengurusan.

 

Harga saham Twitter mencapai paras tertinggi sepanjang masa pada akhir Februari 2021, tetapi dua bulan kemudian Twitter melaporkan pendapatan suku tahunan yang lemah, permulaan tahun naik dan turun. Apabila Dorsey meletak jawatan pada akhir November, beliau cuba menjelaskan pemergiannya dalam surat kepada pekerja. Bagi yang mengenali Dorsey, mereka berpendapat beliau hanya penat dengan tekanan berterusan daripada Elliott, menyedari bahawa suku tahun yang buruk boleh membawa kepada serangan lain ke atas tugasnya.

 

Twitter telah mencuba teknologi blockchain, membiayai usaha untuk membina versi media sosial yang terdesentralisasi dan membenarkan pengguna memberi tip antara satu sama lain dengan Bitcoin. Tetapi obsesi Dorsey terhadap cryptocurrency mungkin lebih sesuai dengan Square. Peletakan jawatannya bermakna Elliott mendapat CEO sepenuh masa yang dikehendakinya untuk Twitter.

 

Baca juga : Kisah Sir Isaac Newton

Ikuti Kami Di Twitter : Market Demon 

Ikuti Kami Di Telegram : Market Demon

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.