Home » Krisis Kewangan Greece

Krisis Kewangan Greece

 

krisis kewangan greece

 

Pada tahun 2015 merupakan tahun krisis kewangan Greece. Pada ketika itu, kerajaan gagal untuk membayar hutang negara. Walaupun ada yang berpendapat Greece hanya mengalami “tunggakan”, tetapi tunggakan sebanyak 1.6 juta euro yang gagal dibayar kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) membuatkan Greece menjadi negara membangun pertama di dalam sejarah yang gagal menjelaskan tunggakannya. Greece menyertai Eurozone pada tahun 2001 dan sesetengah berpendapat bahawa penyertaan Greece kedalam kesatuan tersebut adalah penyebab kejatuhannya. Sebenarnya ekonomi Greece memang sudah bermasalah sebelum menerima pakai matawang tunggal lagi.

 

Greece Sebelum Eurozone

Sebelum diterima untuk menyertai Eurozone pada tahun 2001, Greece sudah dibelenggu dengan beberapa masalah ekonomi. Pada tahun 1980-an, kerajaan telah melaksanakan dasar pengembangan fiskal. Walau bagaimanapun, dasar tersebut dilihat tidak mengukuhkan ekonomi Greece malah terjadi sebaliknya. Greece mengalami kadar inflasi yang sangat tinggi, kadar pertumbuhan yang rendah dan krisis pertukaran wang.

 

Selepas itu, Greece menyertai European Monetary Union (EMU) dengan harapan ekonomi mereka kembali pulih. Mereka percaya bahawa kesatuan tersebut mendapat sokongan dari Bank Pusat Eropah (ECB) untuk membantu melambatkan inflasi, menurunkan kadar faedah pinjaman, menggalakkan pelaburan swasta dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Selanjutnya, matawang tunggal yang digunakan dapat menghapuskan banyak kos urus niaga dan meninggalkan lebihan wang untuk mengurangkan hutang.

 

Penerimaan Bersyarat

Walau bagaimanapun, penyertaan Greece ke dalam Eurozone adalah bersyarat. Greece perlu menyelaraskan struktur kewangan mereka supaya mematuhi garis panduan Perjanjian Maasticht 1992. Perjanjian tersebut menghadkan defisit kerajaan kepada 3% dari KDNK dan hutang awam kepada 60% dari KDNK. Sepanjang tahun 1990-an, Greece berusaha untuk memenuhi kriteria tersebut.

 

Walaupun Greece diterima menjadi ahli EMU pada tahun 2001 tetapi dakwaan tersebut dilihat palsu. Hal ini kerana, defisit dan hutang negara pada ketika itu tidak berada dalam lingkungan had Maastricht. Greece berharap dengan kemasukannya ke EMU lebih awal dapat membantu untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan secara tidak langsung membantu negara menangani masalah fiskal mereka.

 

Greece Selepas Menyertai Eurozone

Banyak bank dan pelabur percaya bahawa matawang tunggal boleh menghapuskan jurang perbezaan antara negara eropah. Selepas itu, Greece dianggap sebagai tempat yang selamat untuk melabur. Hal ini dapat dilihat apabila kadar faedah pinjaman yang dikenakan terhadap kerajaan Greece telah menurun. Semasa tahun 2000-an, kadar faedah yang dikenakan terhadap Greece adalah sama seperti kadar faedah Jerman.

 

Kadar faedah yang rendah ini telah mendorong peningkatan dalam perbelanjaan oleh Greece. Walaupun langkah tersebut dilihat sebagai langkah untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka beberapa tahun, hakikatnya Greece masih belum mampu menangani masalah fiskalnya yang dilihat berpunca daripada perbelanjaan secara berlebihan.

 

 

 

Hasil Pendapatan Negara Berkurang

Pada asasnya, masalah fiskal Greece dilihat berpunca daripada kekurangan hasil negara. Mengikut peratusan KDNK, hasil perbelanjaan sosial Greece adalah 10.3% pada tahun 1980, 19.3% pada tahun 2000 dan 23.5% pada tahun 2011. Manakala perbelanjaan Jerman dalam tempoh yang sama adalah 22.1%, 26.6% dan 26.2%. Pada tahun 2011, Greece berada di bawah purata negara EU iaitu sebnyak 24.9% untuk perbelanjaan sosial. Hal ini juga berlaku disebabkan pengelakan cukai yang sistematik. Secara amnya, pekerja yang bekerja sendiri cenderung untuk tidak melaporkan pendapatan semasa dan sebaliknya hanya melaporkan pembayaran hutang sahaja. Ini adalah norma sosial yang tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

 

Greece Kurang Berdaya Saing

Keahlian dalam Eurozone membantu kerajaan Greece meminjam dengan kadar faedah yang rendah untuk membiayai kos operasi. Pinjaman ini disebabkan hasil kutipan cukai yang tidak mencukupi. Walau bagaimanapun, penggunaan matawang tunggal lebih menyerlahkan perbezaan struktur antara Greece dengan negara anggota yang lain terutamanya Jerman.

 

Greece mempunyai kadar produktiviti yang jauh lebih rendah berbanding Jerman sekali gus menjadikan barangan dan sektor perkhidmatan Greece kurang berdaya saing. Secara relatifnya, perkhidmatan Jerman lebih murah berbanding Greece. Hal ini memburukkan lagi imbangan perdagangan Greece dan meningkatkan defisit akaun semasanya.

 

Krisis Kewangan Greece

Krisis kewangan global yang bermula pada tahun 2007 menampakkan lagi keadaan sebenar kewangan Greece. Kemelesetan ekonomi mengurangkan hasil kutipan cukai Greece yang sememangnya sudah berada dibawah paras bahaya. Hal ini menjadi faktor kepada defisit Greece bertambah buruk. Pada tahun 2010, agensi penarafan kewangan Amerika Syarikat melabelkan bon Greece sebagai gred “sampah”.

 

Apabila sudah kekurangan modal, Greece mula menghadapi krisis kecairan dan memaksa kerajaan untuk mencari dana bailout yang akhirnya mereka berjaya dapatkan. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan beberapa badan kewangan eropah yang lain telah menetapkan syarat yang ketat kepada Greece. Kerajaan perlu melakukan pembaharuan dalam belanjawan khususnya pemotongan perbelanjaan dan mengenakan cukai yang lebih tinggi.

 

krisis kewangan greece

Senarai hutang Greece pada tahun 2015 (Kredit: Arkansas Online)

 

Langkah ini dilihat telah mewujudkan kitaran kemelesetan yang teruk dengan kadar pengangguran mencecah 25.4% pada Ogos 2012. Langkah-langkah yang digunakan semasa krisis kewangan Greece ini dilihat sebagi salah satu penyebab kejatuhan ekonomi Greece. Sistem cukai yang lemah menjadikan kedudukan fiskal Greece menjadi teruk. Langkah penjimatan juga mewujudkan krisis kemanusiaan seperti peningkatan jumlah gelandangan, kadar bunuh diri mencecah rekod tertinggi dan kesihatan awam merosot.

 

Bailout tidak membantu ekonomi Greece bangkit semula malah ia hanya berfungsi untuk memastikan pemiutang Greece dibayar. Kerajaan Greece terpaksa mengikis kutipan cukai yang kecil. Walaupun Greece mempunyai masalah struktur sistem cukai yang korup, keahlian Eurozone telah membenarkan negara itu untuk bersembunyi dari masalah ini untuk seketika. Akan tetapi, hal ini boleh menyebabkan sekatan ekonomi terjadi dan krisis hutang yang tidak dapat diatasi.

 

Dapatkan 30USD Trade Bonus

Baca Juga: Apa Berlaku Apabila Negara Muflis

Ikuti Kami Di Twitter: Market Demon

Ikuti Kami Di Telegram: Market Demon

 

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published.