Home » Shanghai Sedang Menguji Strategi “Zero-Covid”

Shanghai Sedang Menguji Strategi “Zero-Covid”

Selama dua tahun hab perniagaan dan kewangan China kekal tidak terjejas oleh covid. Shanghai adalah bukti kebijaksanaan kerajaan China menangani wabak itu. Strategi zero-covid yang melibatkan ujian besar-besaran dan sekatan yang ketat untuk memerangi wabak, membawa kepada penurunan angka kematian dan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh berbanding negara besar yang lain. Xi Jinping, presiden China, telah memuji strategi itu sebagai kejayaan besar dan bukti bahawa sistem sosialis China lebih unggul berbanding demokrasi Barat.

 

Tetapi keadaan di Shanghai sedang diuji. Tidak seperti permulaan wabak itu, apabila kerajaan menutup Wuhan, sebuah bandar berpenduduk 11 juta orang. Segelintir penduduk berkata apa yang berlaku di Shanghai merupakan satu kekacauan. Mereka telah menghadapi pelbagai sekatan sejak awal Mac dan kini terkurung di rumah mereka. Kekurangan makanan adalah masalah. Penduduk mengadu ketiadaan ubat-ubatan. Di bandar terbesar di China, kawalan ketat kerajaan mencetuskan kemarahan.

 

Usaha untuk membasmi covid-19 di Shanghai sudah menyamai kem tentera. Tentera telah menerbitkan gambar pesawat menurunkan kakitangan dan bekalan. Puluhan ribu pekerja perubatan telah digerakkan ke bandar. Sebahagian pesakit covid dipindahkan ke hospital-hospital berhampiran, kadangkala ratusan kilometer jauhnya. Selebihnya kekal dikurung sementara usaha memerangi virus itu diteruskan.

 

 

Selama berminggu-minggu pihak berkuasa di Shanghai bereksperimen dengan pendekatan yang lebih longgar. Mereka menggunakan lockdown yang disasarkan pada kawasan perumahan untuk membendung virus itu. Tetapi varian Omicron yang sangat mudah ditularkan terus tersebar. Kerajaan cuba mematahkan sebarang perbincangan mengenai langkah yang lebih ketat dalam masa terdekat, malah menahan orang ramai kerana menyebarkan khabar angin.

 

Tiga hari selepas lockdown fasa dua diumumkan. Mula-mula bahagian timur bandar itu ditutup selama empat hari, kemudian sebelah barat. Itu pun terbukti tidak berkesan. Oleh itu, apabila penutupan berperingkat berakhir, kerajaan menutup seluruh bandar. Tidak mengejutkan, pihak berkuasa tidak bersedia untuk menyokong orang ramai semasa penutupan yang dibuat secara tergesa-gesa. Penduduk sendiri diberi masa sedikit untuk membuat persediaan. Ada yang bergegas ke pasar raya, meninggalkan lorong kosong. Mendapatkan keperluan asas telah menjadi satu kesukaran. Weibo dan Twitter telah dibanjiri dengan rayuan untuk mendapatkan bantuan.

 

Seorang wanita berkata bapanya yang menghidap kanser, telah disekat daripada meninggalkan rumah dan menimbang untuk membunuh diri. Seorang lelaki mencari ubat epilepsi untuk anak lelakinya yang masih kecil, dia tidak berani membayangkan akibat jika gagal mendapatkannya. Terdapat satu video yang tersebar menunjukkan orang ramai berebut kotak makanan. Wartawan turut bergelut untuk mendapatkan air yang boleh diminum.

 

Gudang terbiar, pusat ekspo dan kontena perkapalan telah ditukar menjadi pusat pengasingan sementara bagi mereka yang didapati positif. Tetapi dasar pihak berkuasa yang paling kontroversial telah memisahkan kanak-kanak yang positif covid daripada ibu bapa mereka. Kerajaan sejak itu berkata bahawa ibu bapa yang dijangkiti boleh menemani anak mereka yang positif covid, dan ibu bapa yang sihat dengan keperluan khas boleh memohon untuk bersama anak mereka yang dijangkiti.

 

Orang ramai juga berasa marah dengan rakaman panggilan telefon yang bocor, kononnya antara seorang penduduk Shanghai dan seorang pegawai dari Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit China. Mengenai panggilan itu, pegawai itu berkata dasar Shanghai telah didorong oleh pertimbangan politik, bukan kebimbangan kesihatan awam. Menurutnya lagi, penyelarasan antara hospital adalah lemah dan bekalan perubatan semakin berkurangan. Orang yang mempunyai simptom ringan atau tiada gejala harus dikuarantin di rumah. Pegawai itu mendakwa ujian telah dicemari untuk menunjukkan keputusan negatif. Berita mengenai panggilan itu dengan cepat diikuti dengan lawatan ke Shanghai oleh Sun Chunlan, Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab memerangi covid. Beliau mengulangi,

 

“kepatuhan yang tidak berbelah bahagi kepada pendekatan zero-covid dinamik.”

 

Strategi zero covid

 

Sehingga baru-baru ini strategi itu kelihatan popular secara meluas kerana ia telah membolehkan kebanyakan 1.4 bilion penduduk China menjalani kehidupan yang agak normal. Tetapi penyebaran Omicron yang cepat bermakna bilangan orang yang terperangkap dalam kawalan covid negeri semakin meningkat, termasuk semua penduduk Shanghai. Keluhan semakin kuat di media sosial, walaupun kerajaan negeri berusaha keras untuk menapisnya.

 

Aduan dari Shanghai bergema dengan lantang di kalangan pemimpin China. Shanghai mempunyai kepentingan politik yang besar, menjadi tempat bagi kebanyakan orang kaya dan berkuasa di negara itu. Xi Jinping dijangka mendapat penggal ketiga sebagai ketua parti akhir tahun ini. Beliau tidak mahu detik kemenangan itu dibayangi oleh kekacauan berkaitan pandemik. Kelonggaran kawalan mungkin menyebabkan lonjakan jangkitan yang lebih besar yang boleh menjejaskan lebih banyak infrastruktur kesihatan negara. Tetapi mengekalkannya juga berisiko. Penganalisis percaya, langkah itu memberi tamparan hebat kepada ekonomi China, yang mungkin tidak berkembang sama sekali pada suku ini berbanding suku lepas.

 

Apakah kesan terhadap politik China adalah subjek yang banyak spekulasi. Satu nama yang perlu diperhatikan ialah Li Qiang, setiausaha parti Shanghai dan sekutu rapat presiden. Pakar menjangkakan Li Qiang akan dipilih untuk tujuh anggota Jawatankuasa Tetap Politburo akhir tahun ini, badan politik paling berkuasa di negara itu. Ada yang berpendapat beliau akan menjadi perdana menteri seterusnya. Tetapi kekacauan di Shanghai mungkin meredupkan peluang Li Qiang.

 

Buat masa sekarang, kes di Shanghai terus meningkat. Makanan semakin berkurangan. Penduduk telah dirakam di balkoni mereka, melaungkan untuk dibebaskan. Tetapi kebanyakan orang tua belum diberi vaksin dan agak sedikit orang China yang mempunyai imuniti semula jadi. Wabak besar di negara itu boleh mengakibatkan berjuta-juta kematian. Usaha di Shanghai mungkin kelihatan seperti kem ketenteraan tetapi ia adalah untuk mengelakkan penyebaran yang lebih luas.

 

Baca juga : Krisis Bekalan Makanan Di China

Ikuti Kami Di Twitter : Market Demon 

Ikuti Kami Di Telegram : Market Demon

 

Strategi zero covid

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.